Kehadiran Ismail Sabri ke SPRM esok ditangguhkan ke Jumaat
Keadaan kesihatan beliau tidak mengizinkan - SPRM
PUTRAJAYA – Kehadiran bekas perdana menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberi keterangan esok, ditangguhkan ke hari Jumaat.
SPRM dalam satu kenyataan ringkas malam ini berkata, penangguhan itu disebabkan faktor kesihatan Ismail Sabri.
Laporan sebelum ini menyebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan sebagai berkata, Ismail Sabri dijangka hadir ke Ibu Pejabat SPRM esok bagi memberi keterangan.
Beliau sebelum itu diminta hadir bagi direkod keterangan kali kedua esok berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung kempen Keluarga Malaysia membabitkan dana pengiklanan dan promosi agenda kerajaan bernilai RM700 juta.
Pada 10 Februari lalu, Ismail Sabri sudah menghantar maklumat pengisytiharan hartanya kepada SPRM, sebelum keterangannya direkodkan 19 Februari lepas.
Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
SPRM turut dilapor menyita sejumlah wang tunai bernilai kira-kira RM170 juta, jongkong emas dianggarkan bernilai RM7 juta, barang kemas serta barangan lain dalam serbuan ke atas beberapa buah rumah dijadikan ‘safehouse’ berkaitan kes ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







