BERITA SEMASADALAM NEGERI

Orang ramai dinasihat elak anjur himpunan di laluan protokol sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menasihatkan orang ramai agar mengelak daripada menganjurkan sebarang himpunan di laluan protokol sepanjang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berlangsung pada minggu ini.

Saifuddin Nasution berkata, pihak polis akan memperketatkan kawalan di sekitar radius kawasan keselamatan iaitu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), selain sepanjang laluan protokol iaitu dari Pangkalan Udara Subang serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Sebanyak 10,400 anggota polis khusus untuk ASEAN dan kita akan menerima sehingga 23 ketua kerajaan. Untuk tempoh sidang itu, persiapan sudah bermula pada 16 Oktober lalu,” katanya dalam sidang media di Parlimen di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata, walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan penggerak masyarakat sivil, mereka tetap dibenarkan untuk menyampaikan hasrat serta mengadakan perhimpunan mengikut saluran yang dibenarkan.

“Peluang ini kita ambil untuk mengingatkan semua pihak terutama masyarakat untuk memberikan kerjasama khususnya di kawasan persidangan utama, di KLCC.

“Kalau pun di sana kita ada perbezaan antara kita, aktivis dikalangan penggerak masyarakat sivil, saya tegaskan mereka boleh menyampaikan hasrat mereka berkumpul dan sebagainya.

“Beri kerjasama kepada pasukan keselamatan dan (mengelak berhimpun di) lokasi dimana tetamu negara ada iaitu satu, tempat persidangan dan kedua, hotel penginapan. Lain dari itu (dibenarkan berhimpun).

“Radius yang kita panggil (kawasan) keselamatan sebaiknya mereka tidak mengadakan sebarang aktiviti atau berkumpul,” katanya lagi.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bertemakan ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt ini dengan penyertaan pemimpin tertinggi 10 negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama termasuk Amerika Syarikat (AS), China, Jepun dan India.

Sidang itu dijangka menyaksikan kehadiran ramai pemimpin asing termasuk Presiden AS, Donald Trump; Perdana Menteri India, Narenda Modi; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa serta pemimpin utama ASEAN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button