ASEAN perlu kekal bersatu, jadi teras keamanan serantau – Khaled Nordin
KUALA LUMPUR – Perpaduan dan solidariti ASEAN merupakan kunci utama dalam memastikan keselamatan serta kestabilan serantau kekal utuh di tengah-tengah cabaran geopolitik dan keselamatan global yang semakin kompleks.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa prinsip “ASEAN First” perlu menjadi pegangan setiap negara anggota bagi mengekalkan keutuhan organisasi itu sebagai platform utama dialog dan kerjasama pertahanan di rantau ini.
Berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-19 di Kuala Lumpur hari ini beliau berkata, dunia yang kini berdepan persaingan dan ketidakpercayaan memerlukan ASEAN untuk terus menjadi bukti bahawa keharmonian dan keamanan masih mampu dicapai.
“Dalam dunia yang semakin terbahagi oleh persaingan dan ketidakpercayaan, ASEAN membuktikan bahawa keharmonian bukan sahaja mungkin, tetapi juga perlu.
“Kita mesti berpegang pada nilai-nilai asas kita iaitu menghormati kedaulatan, tidak campur tangan dan menyelesaikan pertikaian secara aman,” katanya.
Khaled menekankan bahawa perpaduan merupakan perisai ASEAN dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan, manakala solidariti menjadi asas kepada semangat kebersamaan yang harus sentiasa dikekalkan.
“Apabila seorang daripada kita diuji, seluruh ASEAN turut diuji. Solidariti tidak boleh bersifat selektif.
“Kita mesti berdiri bersama dalam setiap keadaan, terutama apabila keamanan serantau dipertaruhkan,” ujarnya.
Dalam ucapannya, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja kerana mempercayai Malaysia untuk membantu memudah cara penyelesaian pertikaian sempadan antara kedua-dua negara tersebut.
“Ini bukti bahawa dunia mempercayai cara ASEAN dalam menyelesaikan konflik secara aman dan berasaskan keyakinan,” katanya.
Beliau turut menyeru agar Pasukan Pemerhati ASEAN ditubuhkan segera bagi memperkukuh proses damai itu.
Selain itu, Mohamed Khaled turut menzahirkan ucapan takziah kepada Filipina dan Vietnam yang baru-baru ini dilanda bencana taufan dan banjir besar, selain menegaskan kesediaan Malaysia menyokong usaha bantuan kemanusiaan di kedua-dua negara terbabit.
Beliau menambah, ADMM perlu berevolusi seiring perubahan semasa kerana ancaman keselamatan kini tidak lagi terbatas pada aspek fizikal dan ketenteraan, sebaliknya turut melibatkan ruang digital.
“Ancaman siber kini sama berbahaya seperti ancaman maritim. Pelaku bukan negara menggunakan teknologi untuk mengganggu kestabilan, menjatuhkan kerajaan dan menyerang infrastruktur kritikal,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menyeru supaya kerjasama ADMM diperluaskan meliputi inovasi teknologi, keselamatan siber dan perkongsian kepakaran digital bagi memastikan ASEAN sentiasa bersedia menghadapi ancaman baharu.
“Jika kita gagal melabur dalam pertahanan terhadap ancaman ini, maka kita gagal melindungi masa depan kita,” tegasnya.
Pada masa sama, Mohamed Khaled mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste buat pertama kali dalam ADMM sebagai ahli baharu keluarga ASEAN, yang disifatkannya sebagai detik bersejarah dalam perjalanan organisasi itu.
Mesyuarat ADMM ke-19 yang diadakan hari ini menghimpunkan menteri-menteri pertahanan dari 11 negara anggota ASEAN bagi membincangkan agenda keselamatan serantau dan memperkukuh kerjasama pertahanan bersepadu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








