Kerjasama Weststar-RTI perkukuh keupayaan pertahanan negara – Khaled
KUALA LUMPUR – Malaysia melakar satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh keupayaan pertahanan negara apabila Weststar Group menjalin kerjasama dengan syarikat aeroangkasa dan teknologi pertahanan Australia, Rocket Technologies International Pty Ltd (RTI) bagi pembangunan teknologi roket dan misil.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama strategik itu akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pengajian tinggi.
Beliau berkata, perjanjian kerjasama tersebut dimeterai antara Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim dengan Pengasas RTI, Allan James Payne sempena lawatan kerja rasmi beliau selama tiga hari ke Australia.
“Kerjasama strategik ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keupayaan industri pertahanan negara, khususnya dalam bidang teknologi roket dan misil.
“RTI mempunyai pengalaman serta kepakaran dalam bidang ini dan kerjasama bersama Weststar akan membuka ruang kepada pemindahan teknologi, penyelidikan dan pembangunan, pembangunan modal insan serta kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis pemeteraian kerjasama antara Weststar Defence Industries Sdn Bhd dan RTI itu berlangsung di National Convention Centre, Canberra dan disaksikan sendiri oleh Khaled.
Menurut beliau, kerajaan menyambut baik dan menyokong sepenuhnya kerjasama tersebut kerana ia selaras dengan usaha negara membangunkan keupayaan tempatan dalam pembangunan serta pengeluaran roket dan misil.
Katanya, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan aspek pengeluaran, malah turut merangkumi pembinaan kemudahan pengeluaran di Malaysia yang dijangka memulakan pengeluaran roket dalam tempoh dua tahun sebelum berkembang kepada pengeluaran misil pada masa hadapan.
“Pelaburan yang dilaksanakan oleh Weststar turut membolehkan Malaysia menyertai rantaian pembekalan global RTI, sekali gus membuka peluang kepada industri tempatan untuk berkembang dalam ekosistem pertahanan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, usaha tersebut selaras dengan aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) untuk memperkukuh keupayaan industri pertahanan tempatan serta menyumbang kepada pembinaan keupayaan pertahanan negara yang berdaulat.
Dalam pada itu, Khaled turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Australia atas sokongan dan persetujuan yang diberikan terhadap kerjasama serta pemindahan teknologi antara RTI dan Weststar.
“Tahniah kepada Weststar atas keyakinan dan komitmen untuk melabur dalam bidang strategik ini.
“Pelaburan ini bukan sahaja akan memberikan pulangan yang signifikan kepada industri pertahanan negara, malah merupakan pelaburan strategik ke arah memperkukuh keupayaan pertahanan negara yang berdaulat demi generasi akan datang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















