Serangan Israel di Gaza ragut lima nyawa, ramai cedera
GAZA – Lima rakyat Palestin terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam siri serangan udara dan tembakan tentera Israel di Semenanjung Gaza pada Isnin, meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa sejak setahun lalu.
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata, tiga mangsa maut dalam beberapa serangan di sekitar Khan Yunis, selatan Gaza, termasuk dua yang terkena serangan dron ketika seorang lagi terbunuh akibat tembakan tentera Israel.
Dua serangan dron berkenaan menyasarkan khemah yang menempatkan penduduk kehilangan tempat tinggal serta sekumpulan individu berhampiran sebuah kem pelarian.
Di utara Gaza, seorang lagi mangsa terbunuh apabila tentera Israel menyerang sebuah kenderaan awam di Bandar Gaza, manakala seorang individu di bahagian tengah wilayah itu maut akibat serpihan bom yang digugurkan dron.
Mengulas kejadian itu, tentera Israel mendakwa pihaknya melancarkan serangan terhadap beberapa individu yang disifatkan sebagai pengganas di kawasan berkenaan.
Keganasan di wilayah itu masih berterusan walaupun gencatan senjata dicapai setahun lalu, dengan Israel dan Hamas masing-masing saling menuduh melanggar perjanjian berkenaan.
Sejak gencatan senjata berkuat kuasa, lebih 1,550 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, manakala jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula meningkat kepada lebih 74,600 orang.
Dalam tempoh sama, tentera Israel kehilangan tujuh anggota selain seorang kontraktor awam.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














