Dua warga emas maut dalam kejadian berasingan
BAU – Seorang warga emas meninggal dunia selepas dipukul dengan kayu dan ditendang oleh dua individu dalam kejadian yang bermotifkan cemburu di sebuah rumah di Kampung Atas, Singai, Sarawak, semalam.
Kejadian pada pukul 11.39 malam itu mengakibatkan mangsa berusia 73 tahun dari Kampung Daun, Singai mati di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang merupakan tukang kayu telah pergi ke rumah suspek wanita berusia 63 tahun dan mendakwanya telah berselingkuh dengan lelaki lain.
“Berlaku pergaduhan dengan mangsa kemudian menumbuk muka wanita itu. Suspek terus lari keluar rumah dengan dikejar mangsa.
“Suspek kemudian menjumpai sebatang kayu tiang lada di depan pagar dan memukul tangan mangsa. Ketika itu, seorang lagi suspek iaitu pesara tentera berusia 63 tahun datang dan cuba meleraikan keadaan dengan menendang mangsa,” katanya memetik laporan Kosmo!.
Menurut Mohd. Haide, pesara tentera itu turut meminta wanita itu berhenti memukul mangsa selepas melihat kepalanya berdarah dan telah rebah ke tanah.
Tambahnya, polis turut menemui sebatang kayu berhampiran mayat mangsa.
Kedua-dua suspek kemudian ditahan selepas menyerah diri pada pukul 8.20 pagi hari ini.
Sementara itu di Manjung, Perak, seorang lelaki warga emas berusia 78 tahun ditemui mati dipercayai diserang menggunakan cangkul dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Koh, semalam.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, laporan kejadian dibuat oleh ahli keluarga mangsa pada pukul 1.30 tengah hari semalam selepas menemui mangsa sekitar jam 12 tengah hari.
Beliau berkata, mayat lelaki itu dijumpai dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di ruang tamu rumah serta terdapat kecederaan di kepala dan muka mangsa.
“Polis turut menjumpai sebatang cangkul yang terdapat kesan darah disyaki senjata yang digunakan oleh suspek.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
“Punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan tumpul dan tajam pada bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








