Empat lelaki serah diri kes dakwaan serang Zamri Vinoth direman dua hari
BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki yang tampil menyerah diri kepada polis awal pagi tadi direman selama dua hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan serangan terhadap pendakwah bebas, Zamri Vinoth.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Roshayati Radellah selepas pihak polis memohon tempoh reman selama empat hari bagi melengkapkan siasatan.
Dengan penahanan terbaharu itu, jumlah individu yang ditahan berkaitan insiden berkenaan meningkat kepada enam orang, memetik laporan Buletin TV3.
Terdahulu, keempat-empat lelaki terbabit yang berusia antara lingkungan 20-an hingga 30-an tiba di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam pada pukul 8.35 pagi dengan menaiki van polis.
Mereka terdiri daripada dua jurutera, seorang juruteknik dan seorang pemandu van.
Kesemua suspek yang digari tangan dilihat memakai pakaian lokap berwarna jingga dan ungu ketika dibawa masuk ke mahkamah.
Menurut laporan, mereka hadir sendiri ke sebuah balai polis di daerah ini awal pagi tadi sebelum ditahan bagi membantu siasatan.
Peguam yang mewakili mereka, V Parthipan berkata, pihak pembelaan turut menunjukkan rakaman video kejadian yang didakwa sebagai serangan itu kepada mahkamah, yang kini tular di media sosial.
Menurutnya, rakaman tersebut menunjukkan situasi yang berbeza daripada dakwaan yang dibuat dalam laporan polis.
“Pengadu mendakwa penyerangnya memegang batu dan kayu, namun rakaman video jelas menunjukkan tiada sesiapa memegang sebarang objek.
“Rakaman itu juga memperlihatkan semua individu menumpukan perhatian di bahagian pemandu kereta, sedangkan kerosakan jelas kelihatan di bahagian kiri kenderaan,” katanya kepada media selepas prosiding reman.
Parthipan yang mewakili empat lelaki berkenaan bersama peguam K Puvirajan dan T Turuvandran turut berhujah bahawa Seksyen 506 Kanun Keseksaan berkaitan ugutan jenayah tidak terpakai dalam kes tersebut.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Zamri berhubung insiden berkenaan.
“Anak guam saya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dan menyerah diri secara sukarela pagi tadi bagi membantu siasatan,” katanya.
Sebelum ini, dua beradik turut ditahan dan direman secara berasingan berhubung kes sama, namun kedua-duanya telah dibebaskan selepas siasatan awal.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan daripada Zamri berhubung dakwaan serangan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








