JENAYAH & MAHKAMAH

Skandal penjualan saham: Bekas CEO badan berkanun, pengerusi syarikat direman SPRM

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah badan berkanun kerajaan bersama seorang pengerusi syarikat pegangan bagi membantu siasatan berhubung skandal urus niaga penjualan saham yang dipercayai menyebabkan kerugian besar kepada dana awam.

Perintah reman selama empat hari sehingga 12 April terhadap kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 40 dan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Azeren Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek ditahan pada pukul 6 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Siasatan awal mendapati mereka disyaki bersubahat bersama beberapa ahli lembaga pengarah serta pemegang saham sebuah syarikat dalam urus niaga penjualan saham kepada badan berkanun berkenaan antara tahun 2022 hingga 2023.

“Transaksi tersebut dipercayai melibatkan penilaian harga saham yang tidak munasabah (overvaluation) dan tidak setimpal, sekali gus menyebabkan kerugian kepada dana awam yang dianggarkan melebihi RM300 juta,” katanya.

Sehubungan itu, Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM telah menjalankan siasatan menyeluruh termasuk penggeledahan di 13 lokasi utama melibatkan agensi dan syarikat berkepentingan awam serta premis pejabat dan kediaman individu yang dikenal pasti di sekitar Lembah Klang.

Selain penahanan, sebanyak 62 akaun bank persendirian dan syarikat yang berkaitan turut dibekukan, melibatkan jumlah kira-kira RM450 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan BOK SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, siasatan turut melibatkan kesalahan pecah amanah jenayah serta aktiviti pengubahan wang haram.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button