SPRM hargai komitmen pasukan penyiasat, agensi tempatan dan antarabangsa dalam kes 1MDB
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pegawai penyiasat serta pasukan pendakwaan yang terlibat dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak bermula pada Julai 2015 sehingga membawa kepada penyelesaian kes dan pengumuman keputusan penghakiman.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai komitmen dan ketekunan luar biasa para pegawai penyiasat yang telah berusaha mendapatkan keterangan serta bukti kukuh, sama ada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, siasatan berkenaan bukan mudah kerana berdepan pelbagai cabaran melibatkan aspek perundangan, teknikal serta bidang kuasa, namun pasukan penyiasat kekal berpegang teguh kepada piawaian perundangan yang ketat bagi memastikan kes berkenaan dapat dibawa ke mahkamah dan dibicarakan secara adil.
“SPRM turut merakamkan penghargaan ikhlas kepada semua pihak yang memberikan kerjasama sepanjang tempoh siasatan ini, khususnya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azam berkata, kerjasama rakan penguat kuasa luar negara juga amat signifikan, khususnya dalam usaha mendapatkan bukti rentas sempadan melalui mekanisme Bantuan Perundangan Bersama atau Mutual Legal Assistance.
Beliau berkata, antara agensi luar negara yang memberikan bantuan amat bernilai termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat, Pusat Penyelarasan Antirasuah Antarabangsa (IACCC) United Kingdom, Pejabat Peguam Negara Switzerland, Jabatan Hal Ehwal Komersial Singapura, serta pihak berkuasa berkaitan dari Belanda dan Barbados.
Dalam pada itu, Azam berkata, keputusan kes 1MDB bukan satu detik untuk diraikan atau dibanggakan, sebaliknya mencerminkan pelaksanaan amanah dan tanggungjawab SPRM kepada negara selaras dengan mandat yang diberikan.
“Peranan SPRM kekal untuk menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa rasa takut atau pilih kasih, berpandukan sepenuhnya kepada fakta, bukti serta kepentingan awam,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








