BERITA SEMASA

Harga RON95 bersubsidi kekal RM1.99 – MoF

PUTRAJAYA – Harga petrol RON95 bersubsidi terus dikekalkan pada harga RM1.99 seliter bagi memastikan rakyat dilindungi daripada tekanan kenaikan kos bahan api.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata, langkah itu dilaksanakan meskipun minyak mentah global melonjak lebih 40 peratus sehingga melepasi AS$100 (RM396.50) setong akibat konflik berlarutan di Asia Barat.

Bagaimanapun, kata MoF, kerajaan akan melaksanakan pelarasan harga bahan api lain secara berperingkat selaras dengan trend kenaikan harga global sejak penghujung Februari 2026.

“Selaras dengan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 26 Mac hingga 1 April 2026 ditetapkan seperti berikut: RON97 ditetapkan RM5.15 seliter manakala RON95 tanpa subsidi adalah RM3.87 seliter.

“Selain itu, harga runcit diesel bagi kawasan Semenanjung ialah RM5.52 seliter manakala harga diesel bagi Sabah, Sarawak dan Labuan pula sebanyak RM2.15 seliter.

“Kerajaan MADANI kekal komited untuk melindungi kesejahteraan rakyat dalam keadaan pasaran minyak global yang tidak menentu,” kata MoF dalam satu kenyataan, hari ini.

Meskipun Malaysia merupakan negara pengeluar minyak, MoF berkata, harga bahan api domestik masih dipengaruhi pasaran global kerana sebahagian besar bekalan diperoleh dari pasaran antarabangsa.

“Seiring dengan aspirasi ekonomi MADANI, kerajaan akan terus memastikan manfaat dikembalikan kepada rakyat dengan melindungi mereka daripada tekanan kenaikan kos bahan api.

“Antara langkah yang diambil bagi melindungi rakyat adalah seperti berikut melalui BUDI95 iaitu rakyat yang layak terus menikmati RON95 pada harga RM1.99 seliter, manakala diesel bagi pengangkutan awam dan logistik darat kekal pada RM2.15 seliter, dengan beban subsidi Kerajaan melebihi RM3 bilion sebulan.

“Bantuan diesel individu dipertingkatkan apabila kadar BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi dinaikkan kepada RM300 pada bulan Mac 2026, berbanding RM200 sebulan sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, MoF menegaskan pemantauan dan penguatkuasaan diperkukuh bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil serta membendung ketirisan dan penyalahgunaan subsidi, termasuk di kawasan sempadan.

“Kawalan penjualan turut diperketat, dengan larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berpendaftaran asing terus berkuat kuasa, manakala pembelian bahan api melebihi 20 liter di luar tangki tanpa permit khas juga tidak dibenarkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan berhasrat untuk memperkenalkan kawalan ke atas pembelian diesel, terutama di Sabah, Sarawak dan Labuan bagi menangani risiko ketirisan.

“Kerajaan MADANI akan terus mengimbangi keperluan fiskal dengan perlindungan rakyat bagi memastikan kesejahteraan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat terus terpelihara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button