Kerajaan MADANI buktikan demokrasi subur, tidak sekat suara pembangkang – Adam Adli
PETALING JAYA – Kerajaan MADANI tidak hanya melaungkan retorik demokrasi tetapi benar-benar menzahirkannya.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Adam Adli berkata, penganjuran perhimpunan pembangkang yang ditunjangi PAS di ibu negara semalam, bukti kukuh kerajaan tidak mengekang suara rakyat.
Tambahnya, keterbukaan pentadbiran hari ini bukan semata-mata retorik, sebaliknya menjadi amalan yang dirasai rakyat secara menyeluruh.
“Kerajaan MADANI telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai. Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau turut berkata, suasana politik negara telah berubah jauh berbanding era lalu apabila kebebasan bersuara sering ditekan dan perbezaan pandangan dijadikan satu jenayah.
“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan.
“Di era MADANI, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.
“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan. Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita, mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara,” katanya.
Beliau menambah, cita-cita MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat menerusi pelbagai usaha pembaharuan.
“Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.
“Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik. Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari,” ujarnya.
Bagi mengulas tindakan pembangkang, Adam menyifatkan mereka ketandusan idea dan lebih memilih menyerang peribadi berbanding membawa dasar alternatif.
Menurutnya lagi, himpunan itu mencerminkan perubahan budaya politik yang lebih terbuka dan matang, malah menyeru semua pihak untuk menghormati perbezaan pandangan dalam ruang demokrasi yang sihat.
Sehubungan itu, KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
“Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi. Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?
“Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?” katanya.
Adam turut menyimpulkan bahawa setiap kelompok masyarakat telah memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap politik yang lebih matang dan inklusif.
“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting. Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.
“Inilah semangat MADANI; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








