Hentikan serangan ke atas Iran, Selat Hormuz boleh dibuka semula – Sachs
PUTRAJAYA – Laluan perkapalan di Selat Hormuz boleh dibuka semula dengan mudah sekiranya Amerika Syarikat dan Israel menghentikan serangan terhadap Iran, kata Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof. Jeffrey D Sachs.
Menurut beliau, penyelesaian kepada ketegangan itu tidak memerlukan kekuatan ketenteraan, sebaliknya hanya memerlukan penamatan serangan dan pencerobohan terhadap Iran.
Beliau berkata, langkah tersebut juga akan segera menyelesaikan ketegangan yang dikaitkan dengan dasar Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
“Untuk membuka pergerakan di Selat Hormuz adalah mudah. Israel dan AS berhenti membunuh orang Iran. Itu saja.
“Kita tidak memerlukan kapal perang. Kita hanya memerlukan penyelesaian agresi. Ia sangat mudah,” katanya pada Forum Ilmuan MADANI yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini semalam.
Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan Oman merupakan laluan penting yang mengendalikan kira-kira satu perlima perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.
Menurut Sachs, pendekatan Trump bukan bertujuan membina kerjasama, sebaliknya lebih kepada mencetuskan peperangan.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Trump yang menghubungi China berhubung isu tersebut walaupun negara itu menjadi sasaran dalam konflik geopolitik semasa.
“Betapa peliknya dia apabila menelefon China untuk melakukannya sedangkan China merupakan sasaran. Percayalah, China memahami apa yang berlaku,” katanya.
Sachs menegaskan bahawa pihak yang memulakan serangan perlu menghentikan peperangan terlebih dahulu bagi membuka ruang kepada penyelesaian konflik.
Dalam masa sama, beliau berkata, negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) perlu mengambil kawalan kedaulatan terhadap konflik berkenaan dan tidak membenarkan wilayah mereka digunakan oleh Amerika Syarikat untuk menyerang negara jiran.
Katanya, tanggungjawab itu penting bagi mengelakkan negara-negara berkenaan terjerumus dalam peperangan yang lebih luas.
Sachs turut menegaskan bahawa keamanan tidak akan tercapai selagi negara Palestin tidak diwujudkan bersama negara Israel.
Beliau merujuk kepada dokumen dikenali sebagai “Clean Break” yang diterbitkan kira-kira 30 tahun lalu dan dikaitkan dengan kepimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Menurutnya, dokumen tersebut menyatakan Israel tidak akan berunding bagi penubuhan negara Palestin, sebaliknya mengekalkan kedaulatan penuh dari Sungai Jordan hingga ke Laut Mediterranean.
“Itulah masalahnya. Sehingga ada negara Palestin bersama negara Israel, tidak akan ada keamanan,” katanya.
Sachs berkata, idea dalam dokumen tersebut juga mencadangkan penggulingan kerajaan yang menyokong perjuangan Palestin, termasuk di beberapa negara Timur Tengah.
Beliau menambah, pendekatan itu menunjukkan strategi yang lebih menumpukan kepada menjatuhkan kerajaan yang menentang berbanding menggunakan diplomasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








