Petronas buka lebih 60 stesen minyak di Brazil
KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd. (Petronas) terus mengukuhkan kedudukannya di peringkat antarabangsa apabila berjaya membuka lebih 60 stesen minyak di Brazil, sekali gus memperluaskan jejak jenama Malaysia itu di rantau Amerika Selatan.
Pencapaian berkenaan didedahkan dalam Laporan Tinjauan Aktiviti Petronas 2026–2028, yang memaklumkan bahawa pengembangan tersebut direalisasikan menerusi perkongsian strategik dengan rakan niaga tempatan, SIM Distribuidora.
“Pembukaan rangkaian stesen itu membolehkan produk bahan api premium PETRONAS Primax serta pelincir berprestasi tinggi PETRONAS Syntium dipasarkan secara langsung kepada pengguna di negara berkenaan.
“Inisiatif pelesenan jenama runcit berkenaan merupakan sebahagian daripada strategi menyeluruh Petronas untuk memperluaskan kehadiran globalnya dalam segmen hiliran,” lapor BH Online.
Pada masa sama, Petronas turut memperkukuh operasinya di Asia apabila Petronas Lubricants International (PLI) melancarkan Pusat Perkhidmatan Teknikal Tenaga Baharu Petronas di Jiaxing, China.
Penubuhan kemudahan tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap pasaran China yang berkembang pesat, khususnya dalam menyokong keperluan teknologi baharu industri automotif.
Pusat teknikal itu menawarkan perkhidmatan teknikal khusus kepada pengeluar peralatan asli (OEM) serta pembekal alat ganti automotif, dengan fokus kepada penyampaian penyelesaian inovatif dan berdaya saing bagi menyokong pertumbuhan mampan.
Dalam perkembangan berkaitan, sektor hiliran Petronas turut memberi tumpuan kepada pengembangan bahan kimia khusus.
Petronas Chemicals Group Bhd. (PCG) memperkenalkan produk olefin dan derivatif baharu, HL701, iaitu surfaktan dengan Indeks Karbon Boleh Diperbaharui yang tinggi, selaras dengan peralihan industri ke arah penyelesaian lebih lestari.
Bagi segmen biobahan api pula, Petronas melalui kerjasama dengan Enilive dan Euglena merancang membangunkan sebuah loji penapisan bio di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC).
Kemudahan berkenaan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2028, dengan tumpuan kepada pengeluaran Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) dan Diesel Boleh Diperbaharui (HVO).
Secara keseluruhan, laporan itu menegaskan bahawa meskipun berdepan ketidaktentuan pasaran global, Petronas kekal proaktif meneroka peluang pertumbuhan baharu di luar negara sambil mempelbagaikan portfolio produknya bagi mengekalkan daya saing.
Pelaburan berterusan dalam teknologi pemprosesan termaju serta pembangunan infrastruktur strategik dilihat sebagai pemangkin utama peralihan Petronas ke arah penyelesaian tenaga masa depan, sejajar dengan perubahan dinamik pasaran global.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















