BERITA SEMASA

PETRONAS, pihak berkuasa kerjasama rapat pastikan bekalan domestik terjamin

KUALA LUMPUR – Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan bekalan domestik terus terjamin di samping mempercepat usaha meningkatkan pengeluaran minyak mentah.

Naib Presiden Pembangunan Huluan PETRONAS, Mohd Nazlee Rasol berkata, pihaknya akan terus mengutamakan aspek bekalan dengan tumpuan semasa terhadap libat urus bagi mengenal pasti kaedah pantas meningkatkan pengeluaran.

Sehubungan itu, PETRONAS turut mengadakan perbincangan dengan penyedia perkhidmatan termasuk Weatherford bagi meneroka penggunaan teknologi serta inisiatif yang mampu mempertingkat pengeluaran minyak dan gas.

“Sekadar berkongsi konteks, sebanyak 70 peratus daripada pengeluaran kami ditapis di peringkat domestik manakala baki 30 peratus dieksport.

“Jadi, sudah tentu kami perlu menilai semula sama ada mahu terus berbuat demikian atau perlu melakukan perubahan,” kata Mohd Nazlee.

Beliau berkata demikian semasa sesi panel bertajuk ‘Mempercepatkan Pembangunan untuk Keselamatan Tenaga: Mempercepat Strategi Lapangan dalam Dunia yang Tidak Menentu’ yang diadakan di Offshore Technology Conference Asia (OTC Asia), di sini hari ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, syarikat minyak dan gas negara itu mengesahkan rantaian bekalan di semua stesen minyak miliknya dijangka mencukupi sehingga Mei 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button