Yusof Hafizi sumbang emas pertama Malaysia di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025
KUALA LUMPUR, 20 Okt — Sejarah baharu tercipta di Rio de Janeiro apabila pelumba para negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, menjuarai acara MC1 Sprint 200 meter Flying pada Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 di Brazil, sekali gus menghadiahkan pingat emas pertama dan jersi pelangi sulung buat Malaysia di pentas dunia.
Atlet berusia 28 tahun itu yang beraksi dalam acara pecut 200 meter (m) kategori MC1 menjadi atlet pertama melintasi garisan penamat menewaskan pelumba Sepanyol, Ricardo Ten Argiles dan atlet neutral Ivan Ermakov.
Kemenangan gemilang itu bukan sahaja mengharumkan nama negara, malah mengukuhkan kedudukan Pasukan Para Berbasikal Negara yang menutup kempen kali ini dengan kutipan satu emas dan satu perak, pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah penyertaan di kejohanan berprestij tersebut.
Majlis Sukan Negara (MSN) dalam satu kenyataan menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Yusof Hafizi atas semangat juang tinggi serta komitmen luar biasa yang membuahkan kejayaan membanggakan itu.
“Syabas dan tahniah diucapkan kepada Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin atas kejayaan membanggakan menjuarai acara MC1 Sprint-200m Flying di Para Cycling Track World Championship 2025, sekaligus membawa pulang pingat emas pertama serta rainbow jersey sulung buat Malaysia,” kata kenyataan MSN hari ini.
Kejayaan anak jati Kuala Kangsar, Perak itu sekali lagi membuktikan kemampuan atlet para negara bersaing di peringkat antarabangsa serta menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berjuang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








