BERITA SEMASASUKAN

Kerajaan salur RM282,000 kepada badan sukan, atlet WP terima insentif RM178,000

KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyalurkan Bantuan MADANI berjumlah RM282,000 kepada 81 badan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2026.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, bantuan itu bukan sekadar peruntukan kewangan, sebaliknya amanah yang perlu diurus dengan penuh integriti serta tadbir urus berkesan.

Menurutnya, setiap dana yang disalurkan adalah hasil sumbangan rakyat dan tidak boleh dipandang ringan oleh mana-mana badan sukan.

“Bantuan ini merupakan ‘dana amanah’ yang menuntut ketelusan serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan dan organisasi,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

bantuan sukan
Kerajaan menerusi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) menyalurkan Bantuan MADANI berjumlah RM282,000 kepada 81 badan sukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi tahun 2026.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Penarafan Bintang Badan Sukan Wilayah Persekutuan bagi tempoh 2025 hingga 2026 sedang dilaksanakan sebagai penanda aras terhadap aspek tadbir urus, pengurusan kewangan dan prestasi sukan.

Katanya, badan sukan yang mencapai penarafan tinggi bakal menerima pengiktirafan serta insentif tambahan pada tahun hadapan.

Pada majlis sama, seramai 103 atlet Wilayah Persekutuan yang mewakili negara ke Sukan SEA Ke-33 di Thailand berjaya menyumbang 77 pingat, termasuk 19 emas, 24 perak dan 34 gangsa.

Bagi Sukan Para ASEAN Ke-13 pula, lapan atlet menyumbang 17 pingat iaitu tiga emas, tiga perak dan 11 gangsa.

Sebagai penghargaan, sejumlah RM178,000 insentif disampaikan kepada atlet berkenaan, melibatkan RM157,900 kepada pemenang Sukan SEA dan RM20,100 kepada atlet Sukan Para ASEAN.

Selain itu, atlet para badminton negara, Cheah Liek Hou turut menerima insentif khas berjumlah RM20,000 atas kejayaannya dalam Kejohanan Badminton Para Dunia BWF 2026.

Mengulas persiapan menghadapi Sukan Malaysia 2026, Hannah berkata, kontinjen Wilayah Persekutuan perlu tampil dengan keyakinan tinggi bagi memperbaiki pencapaian lalu.

“Kita hanya dipisahkan satu pingat emas daripada kedudukan teratas sebelum ini. Justeru, semua pihak perlu memberikan yang terbaik demi mengharumkan nama Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa majlis tersebut menjadi platform penting dalam mengiktiraf pencapaian atlet selain memperkukuh kerjasama antara semua pemegang taruh dalam pembangunan sukan di Wilayah Persekutuan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button