Isham Jalil gesa mesyuarat majlis tertinggi khas UMNO diadakan segera
KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menggesa supaya satu mesyuarat Majlis Tertinggi khas dan Perhimpunan Agung UMNO khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti selepas parti itu tewas teruk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Isham berkata, ini kerana selepas hampir seminggu Barisan Nasional (BN) tumpas teruk, pimpinan parti itu terus mendiamkan diri tanpa memberikan hala tuju UMNO selepas ini.
“Sudah enam hari atau hampir seminggu sejak kita (UMNO) tumpas teruk dalam pilihanraya enam negeri. Namun sehingga kini Majlis Tertinggi UMNO belum lagi bersidang atau dipanggil untuk bersidang.
“Akar umbi akan menjadi semakin resah jika kita di pimpinan parti mendiamkan diri dan tidak memberikan halatuju yang jelas semasa krisis. Berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupa bukanlah pilihan yang baik untuk kita di kala ini.
“Oleh itu saya ingin menggesa dan sarankan supaya satu mesyuarat Majlis Tertinggi Khas dan perhimpunan agung UMNO khas diadakan segera untuk membincangkan hala tuju parti di saat yang getir dan kritikal ini,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.
Dalam pada itu, Isham berkata, semua ahli UMNO termasuk akar umbi UMNO pasti ingin menyertai dalam perhimpunan agung khas itu sebab keputusan yang perlu kita buat adalah suatu keputusan yang amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli dan akar umbi UMNO.
“Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa. Special circumstances require special measures,” ujarnya.
Berdasarkan PRN yang berlangsung pada 12 Ogos, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) memaklumkan daripada 245 kerusi DUN yang dipertandingkan, sebanyak 146 kerusi berjaya dimenangi oleh Perikatan Nasional (PN) manakala Pakatan Harapan (80 kerusi) dan Barisan Nasional (BN) sebanyak 19 kerusi.
Daripada jumlah kerusi yang dimenangi BN, Negeri Sembilan mencatatkan bilangan tertinggi iaitu dengan 14 kerusi, seterusnya diikuti Selangor (dua), Pulau Pinang (dua) dan Kelantan (satu).
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








