Kah Leong diambil keterangan berhubung gambar ‘badut’ Razman
I
POH – Exco Kerajaan Negeri Perak, Woo Kah Leong hadir memberi keterangan kepada polis berhubung satu hantaran di media sosial yang memaparkan gambar suntingan Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria, yang diubah menyerupai badut.
Kah Leong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Berdamar disoal siasat oleh dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, dengan ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.
Telefon bimbit dan kad SIM milik Kah Leong turut dirampas bagi membantu siasatan.

“Saya tidak pasti bila dan siapa yang buat laporan polis, tapi saya dimaklumkan laporan dibuat di Lenggong,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat DAP negeri, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Muhammad Firdaus Abdullah turut mengesahkan pihaknya telah mengambil keterangan Kah Leong mengikut prosedur siasatan standard.
Isu bermula pada 21 April lalu apabila Razman mendakwa gambar dirinya telah disunting dan dimuat naik oleh Kah Leong dalam satu hantaran media sosial, menunjukkan wajahnya sebagai badut.
Dalam persidangan Dewan Undangan Negeri sebelum ini, beliau menuntut agar Kah Leong membuat permohonan maaf secara terbuka.
Razman berkata, tindakan tersebut memalukan dan menghina, walaupun sebelum ini pelukis seperti Zunar dan Fahmi Reza turut menyasarkan pemimpin DAP dan Pakatan Harapan tanpa laporan polis dibuat.
“Mengadu kepada polis hanya kerana karikatur adalah satu bentuk sekatan terhadap kebebasan bersuara. Karikatur tidak sama dengan fitnah,” katanya lagi.
Sementara itu, Syahredzan berkata, Kah Leong telah memberikan kerjasama sepenuhnya dan akan dihubungi semula sekiranya diperlukan untuk siasatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








