Kedudukan Ketua Pembangkang diteliti selepas pemecatan Hamzah – Azmin Ali
KUALA LUMPUR – Kedudukan Ketua Pembangkang Perikatan Nasional (PN) bakal diteliti susulan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Seri Azmin Ali berkata, perkara itu tidak dibincangkan pada Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, di sini hari ini.
“Kita akan mengeluarkan satu kenyataan rasmi dalam masa terdekat. Buat masa ini, kita akan meneliti dahulu kedudukannya sebab beliau (Hamzah) bukan lagi ahli parti.
“Kalau mengikut keputusan Lembaga Disiplin BERSATU semalam, hak keahliannya juga sudah dilucutkan, maka proses rayuan akan bermula dalam tempoh 14 hari.
“Beliau berhak untuk mengemukakan rayuan dan terpulang kepada Lembaga Rayuan untuk mempertimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat khas itu.
Bagaimanapun, Azmin menegaskan langkah pemecatan Hamzah itu merupakan proses pendewasaan parti dan tidak menjejaskan reputasi BERSATU.
“Alhamdulillah, banyak cadangan diterima daripada ahli-ahli MPT dan semua cadangan ini akan diperkemaskan untuk terus maju ke hadapan.
“Kita yakin, ini adalah sebahagian proses kematangan parti yang perlu kita lalui dengan bijaksana dan berhemah,” katanya.
BACA JUGA:
Hamzah Zainudin buat ‘move’, jumpa 2/3 wakil rakyat dan ketua bahagian BERSATU
Tambah beliau, tindakan pemecatan Hamzah bukan bertujuan menjejaskan parti, sebaliknya ia sebahagian daripada mekanisme pengurusan krisis dan disiplin BERSATU.
“Mereka diberi ruang untuk merayu dalam tempoh 14 hari. Jadi terpulang kepada mereka yang telah dijatuhkan hukuman untuk membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan,” katanya.
Ditanya mengenai reputasi parti yang mungkin terjejas akibat pemecatan ahli dari kem Hamzah, Azmin berkata, beliau tidak melihatnya begitu.
“Seperti yang saya kata tadi ini proses pendewasaan parti. Setelah 9 tahun ini dibina, pastinya ada pindaan, perubahan yang perlu kita lakukan.
“Dan inilah yang telah kita laksanakan. Dalam parti-parti politik, semua parti melalui tindakan yang sama,” tegasnya.
Tambahnya, usaha pengukuhan parti sedang giat dijalankan di pelbagai peringkat, termasuk cawangan, bahagian dan negeri.
“Kita telah ada satu road map cukup jelas untuk memastikan program pengukuhan parti ini akan terus berjalan termasuk membincangkan kawasan-kawasan tumpuan bagi persiapan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” tambahnya.
Azmin turut menegaskan bahawa sebarang spekulasi mengenai calon Ketua Pembangkang atau kemungkinan pengaruh keputusan ini terhadap PRU Ke-16 adalah belum timbul.
“Kita sebagai pemimpin parti politik harus bersiap sedia menghadapi semua kemungkinan dan kita telah menelitinya serta membincangkannya secara terperinci,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








