BERITA SEMASAPOLITIK

ADUN Chenderoh cabar BERSATU pecat terus, dakwa parti semakin bercelaru

KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zin mendakwa krisis dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini semakin meruncing apabila ramai pemimpin dan ahli akar umbi mula hilang keyakinan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu.

Beliau yang digantung keahlian baru-baru ini mendakwa, tindakan disiplin dikenakan terhadapnya dibuat tanpa proses yang benar-benar terbuka, adil dan telus.

Menurutnya, tindakan menggantung keahlian tanpa pemecatan jelas menunjukkan kepimpinan parti berada dalam keadaan tertekan serta tidak yakin menguruskan konflik dalaman.

“Jika benar saya melakukan kesalahan besar, mengapa hanya digantung? Mengapa tidak dipecat terus?

“Tindakan separuh jalan ini memperlihatkan kepimpinan parti sendiri berada dalam keadaan tertekan, tidak yakin dan semakin bercelaru dalam mengurus parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Lukman turut mendakwa, ramai ahli akar umbi melihat kemelut yang berlaku berpunca daripada sikap kepimpinan tertinggi yang semakin obses untuk terus kekal berkuasa dan terlalu tertumpu kepada cita-cita politik peribadi berbanding kestabilan parti.

“Ramai ahli di bawah mempersoalkan mengapa Tan Sri Muhyiddin Yassin masih dilihat mahu terus mengangkat dirinya sebagai calon utama Perdana Menteri sedangkan realiti politik semasa memerlukan pendekatan baharu yang lebih sederhana, terbuka dan berpijak di bumi nyata.

“Sikap kepimpinan yang dilihat terlalu mempertahankan kedudukan sendiri inilah yang akhirnya mencetuskan rasa tidak puas hati di pelbagai peringkat dalam parti,” tegasnya.

Beliau juga mendakwa, terdapat persoalan dalam kalangan ahli mengenai hala tuju parti termasuk isu Perhimpunan Agung Tahunan (PAT), proses pemilihan parti dan pengurusan dalaman yang didakwa tidak lagi mencerminkan semangat demokrasi sebenar.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan tindakan disiplin terhadap beberapa pemimpin termasuk Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa tidak mendapat mandat bertemu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Namun tiada pula tindakan dikenakan terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali apabila beliau didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Keadaan ini menyebabkan ramai ahli melihat tindakan disiplin dalam parti hari ini bersifat terpilih dan tidak konsisten,” katanya.

Beliau turut mengkritik pendekatan komunikasi Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz yang didakwa sering menyerang pelbagai pihak termasuk rakan komponen secara terbuka.

Syed Lukman menegaskan beliau tidak gentar dengan penggantungan tersebut dan akan terus bersama rakyat serta akar umbi yang mahukan pembaharuan dalam politik negara.

“Jika benar saya bersalah dan sekiranya BERSATU ada maruah, saya cabar BERSATU pecat sahaja saya terus, bukan sekadar gantung demi menutup kelemahan kepimpinan sendiri.,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button