Ketua Bahagian BERSATU Dungun desak Muhyiddin letak jawatan
KUALA LUMPUR – Seorang lagi Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendesak Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan bagi meredakan ketegangan dalaman serta memulihkan hubungan dalam Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ketua BERSATU Bahagian Dungun, Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, langkah itu perlu kerana kegagalan kepimpinan tertinggi parti itu mengurus keharmonian antara parti komponen PN, khususnya PAS, sekali gus menjejaskan kekuatan gabungan berkenaan.
Menurutnya, pendekatan dan tindakan Muhyiddin bukan sahaja mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan pemimpin PAS, malah menimbulkan kebimbangan serius terhadap hala tuju kepimpinan parti.
“Sebagai Ketua BERSATU Bahagian Dungun, saya melihat kegagalan kepimpinan tertinggi, khususnya Muhyiddin dalam menjaga hubungan strategik dengan rakan komponen PN sebagai satu isu besar yang tidak boleh dipandang ringan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Abdul Aziz berkata, keadaan bertambah rumit apabila Muhyiddin yang sebelum ini melepaskan jawatan Pengerusi PN, kini dilihat seolah-olah berusaha kembali menguasai jawatan tersebut, sekali gus mewujudkan kekeliruan dan ketidakstabilan dalam struktur kepimpinan gabungan.
Tambahnya, persepsi rakyat turut terjejas apabila wujud gambaran bahawa Muhyiddin tidak memberi ruang kepada pemimpin lain untuk menerajui jawatan itu, sebaliknya dilihat mahu memastikan jawatan berkenaan tidak disandang oleh sesiapa sekiranya bukan beliau sendiri, termasuk melalui langkah memansuhkan jawatan berkenaan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan besar terhadap nilai kepimpinan, keikhlasan perjuangan serta keutamaan sebenar dalam politik, sama ada benar-benar demi rakyat dan kestabilan negara atau sekadar mempertahankan kepentingan kuasa dan kedudukan peribadi,” katanya.
Beliau menegaskan PN hanya akan terus relevan dan diyakini rakyat sekiranya dipimpin berteraskan semangat kebersamaan, saling menghormati antara parti komponen serta mengutamakan kepimpinan yang berprinsip, berintegriti dan berjiwa besar.
Antara punca utama desakan itu ialah ketegangan hubungan antara BERSATU dan PAS, khususnya selepas timbul isu pemansuhan jawatan Pengerusi PN yang sebelum ini disandang Muhyiddin.
Langkah berkenaan dilihat oleh sesetengah pihak sebagai menjejaskan semangat perkongsian kuasa dalam gabungan serta menimbulkan persepsi bahawa kepimpinan PN terlalu berpusat kepada satu parti dan individu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








