Penyu belimbing sah bertelur di Kuala Abang
DUNGUN – Khabar angin yang memdakwa penyu belimbing mendarat dan bertelur semula di negeri ini sah apabila berjaya disaksikan orang awam di pantai Kuala Abang di sini, awal pagi tadi.

Jabatan Perikanan Terengganu dalam kenyataan memaklumkan penyu daripada spesies Dermochelys coriacea itu mendarat dan bertelur kira-kira pukul 2 pagi sebelum kembali ke laut dengan selamat sekitar pukul 5.30 pagi.
Menurut kenyataan itu, penemuan berkenaan disaksikan kakitangan Pejabat Perikanan Negeri Terengganu, Mohd Saipulmizam Hamzah dan pemajak telur kawasan Rantau Abang (Zon B), Mohd Salleh.
“Penyu berkenaan berukuran 215 sentimeter panjang dan 115 sentimeter lebar, selain menghasilkan sebanyak 70 biji telur.
“Kesemua telur dipindahkan dan ditanam di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu (TCIC) Rantau Abang untuk proses pengeraman,” menurut kenyataan itu.
Tindakan pemindahan telur kemudian dilakukan bagi memastikan keselamatan telur terjamin serta mendapatkan kadar penetasan yang optimum.
Jabatan Perikanan Terengganu berkata, penyu berkenaan dipercayai mungkin yang sama mendarat di kawasan berkenaan pada 1 dan 13 September lalu.
Menurutnya, pendaratan itu juga berkemungkinan bukan yang terakhir kerana seekor penyu belimbing betina boleh bertelur sehingga lima kali dalam satu musim bertelur.
Sementara itu, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Pang Anak Nyukang merakamkan penghargaan kepada warga perikanan yang terbabit, selain WWF-Malaysia, Geng Plastik Ija dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang terus menyokong usaha konservasi Jabatan Perikanan Malaysia.

Usaha berkenaan penting bagi memastikan kelestarian penyu dan pemuliharaan habitat pantai di Terengganu terus dipelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


