BERITA SEMASADALAM NEGERI

Kerajaan turunkan RM100 harga sewa tapak bazar Ramadan

PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan untuk menurunkan harga seliaan tapak bazar Ramadan di bawah pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada RM500 kepada RM400 bagi tahun ini, sebagai langkah meringankan beban penjaja kecil khususnya di ibu negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, pengurangan sebanyak RM100 itu turut disertai ketetapan bahawa kadar sama diwajibkan ke atas persatuan penjaja bagi mengelakkan sebarang caj tidak munasabah dikenakan kepada peniaga.

Menurut beliau, kerajaan juga memberi amaran keras terhadap sebarang amalan ‘sublet’, jual beli tapak serta pengambilan untung berlebihan dengan tindakan penguatkuasaan akan diambil tanpa kompromi termasuk terhadap penganjur.

“Tindakan tegas akan dikenakan sekiranya terdapat pelanggaran syarat yang ditetapkan,” katanya pada sidang media melalui siaran video hari ini.

Mengulas penganjuran bazar Ramadan tahun ini, Hannah berkata, sebanyak 42 lokasi ditawarkan kepada penjaja di sekitar Kuala Lumpur, dengan sembilan lokasi berada di bawah seliaan DBKL, manakala 32 lokasi dikendalikan oleh persatuan penjaja.

Beliau berkata, tiga persatuan utama terlibat ialah Pertubuhan Pasar Malam Kuala Lumpur, Persatuan Penjaja-Penjaja dan Peniaga-Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan serta Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hannah berkata, DBKL bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan pemeriksaan harian sepanjang Ramadan bagi memastikan kualiti makanan, kawalan harga dan tahap kebersihan bazar terpelihara.

“Saya berharap apabila kadar caj diturunkan, peniaga juga akan lebih munasabah dalam penetapan harga makanan kepada warga Kuala Lumpur, selain memastikan kebersihan sentiasa dijaga,” katanya.

Sementara itu, Hannah memaklumkan bahawa kadar caj tapak bazar Ramadan di Putrajaya dikekalkan pada RM1,000, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button