Konsert Muzik Orkestra KL x Rakan Muda 2025 serlah bakat belia
KUALA LUMPUR – Konsert Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025 membuka peluang kepada golongan belia untuk menonjolkan bakat dalam bidang muzik orkestra sekali gus membentuk asas kukuh dalam industri muzik tanah air.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, program anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) itu memberi peluang kepada anak muda untuk mengasah kemahiran muzik dengan bimbingan tenaga pengajar profesional.
“Program itu bukan sahaja menjadi platform untuk bakat baharu menyerlah tetapi juga memberi pendedahan awal kepada mereka mengenai prospek kerjaya dalam industri muzik.

“Kita mahu lebih ramai belia melihat muzik bukan sekadar hobi tetapi sebagai satu bidang profesional yang boleh menjana pendapatan,” katanya selepas menghadiri konsert berkenaan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KBS, Datuk Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Pengarah JBSN, Azura Abidin.
Konsert itu menampilkan 90 peserta yang terdiri daripada alumni Kem Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025, Kem Muzik Rakan Muda@Kuala Lumpur 2024 dan Kem Muzik Rakan Muda@Sarawak 2024.

Mereka mempersembahkan 14 buah lagu bertemakan filem tempatan dan antarabangsa, termasuk satu segmen khas penghormatan kepada seniman legenda, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Menurut JBSN, pemilihan peserta dibuat melalui sesi uji bakat pada 28 hingga 29 Disember 2024, sebelum mereka menjalani latihan intensif dalam Kem Muzik Orkestra Remaja Kuala Lumpur x Rakan Muda 2025 yang berlangsung dari 10 hingga 14 Februari 2025 di Studio Orkestra DBKL, Menara DBKL 2.
Program itu menyasarkan penyertaan belia berusia 13 hingga 30 tahun dan bertujuan membantu mereka meningkatkan kemahiran muzik, membina keyakinan diri serta memperkukuhkan keupayaan dalam industri kreatif.
JBSN turut berkata, kejayaan program itu dapat dilihat melalui pencapaian sebelum ini, antaranya rakaman orkestra sempena Hari Kebangsaan ke-67 bersama RTM, kejayaan peserta menyertai Unit Muzik Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan (JKKPS) DBKL, serta penganjuran Kem Muzik Rakan Muda@Sarawak 2024 yang mengumpulkan 77 belia dari negeri itu.
“Melalui program itu, kita berharap lebih ramai belia dapat menyertai industri muzik dengan persediaan lebih kukuh, selain dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan peserta dari pelbagai latar belakang,” kata kenyataan itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Komunikasi Korporat KBS di talian 03-8871 3100 atau e-mel jbsn@kbs.gov.my.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








