TLDM selamatkan nelayan Indonesia hanyut di perairan Pulau Jarak
IPOH – Dua nelayan warga Indonesia berjaya diselamatkan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selepas bot yang dinaiki mereka hanyut di laut berhampiran Pulau Jarak, Selat Melaka, dekat Lumut.
Menurut Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, bot nelayan dari Belawan, Indonesia itu mengalami kerosakan enjin dan hanyut sejak 28 November lalu semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan.
Kapal Diraja (KD) Kinabalu yang sedang melaksanakan rondaan operasi di perairan sekitar Pulau Jarak pada awalnya mengesan sebuah bot nelayan terapung sebelum mendekati untuk pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikemudi oleh dua nelayan Indonesia dan mengalami kerosakan enjin. Bantuan teknikal untuk membaiki enjin telah diberikan, namun tidak berjaya berikutan kerosakan serius dan memerlukan alat ganti.
“Atas dasar kemanusiaan, bantuan logistik, makanan dan pemeriksaan perubatan awal turut diberikan dengan sewajarnya. Kedua-dua nelayan berkenaan kemudian diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan TLDM, kelmarin.
Sementara itu, TLDM menegaskan, pihaknya kekal komited dalam melaksanakan bantuan kemanusiaan merentasi kewarganegaraan, selari dengan peranan menjaga keselamatan perairan negara.
“TLDM turut menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa memastikan keadaan bot baik dan peka terhadap cuaca untuk mencegah insiden,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








