BERITA SEMASA

Mohamad Sabu gesa negara Islam bangkit hadapi kekejaman Zionis

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu menyeru seluruh negara umat Islam, khususnya negara-negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO, supaya bangkit dengan keberanian dan kesatuan bagi menghadapi kekejaman berterusan Israel terhadap rakyat Palestin.

Beliau berkata, tindakan rejim Zionis yang semakin rakus melakukan serangan terhadap hospital, masjid, gereja dan orang awam yang sedang mendapatkan bantuan makanan jelas membuktikan sifat kebinatangan yang tidak lagi mengenal peri kemanusiaan.

“Al-Quran telah lama mengingatkan tentang sifat pengkhianatan Zionis yang tidak pernah setia dengan perjanjian.

“Namun, persoalan yang harus kita renungkan ialah di manakah kedudukan umat Islam sendiri dalam menghadapi kezaliman ini?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, amat mendukacitakan apabila masih terdapat negara Arab Teluk dan negara Islam dalam NATO yang meneruskan hubungan dagang serta diplomatik dengan Israel, sekali gus mengukuhkan kedudukan rejim itu.

“Ironinya, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman, tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya lagi.

Beliau turut menyifatkan hakikat kini menyedihkan apabila masyarakat Eropah dan bukan Islam lebih lantang membela hak asasi rakyat Palestin, berbanding sebahagian negara Islam yang hanya mengecam di pentas antarabangsa tetapi masih menjalinkan hubungan akrab dengan Zionis.

Dalam pada itu, Mohamad menegaskan AMANAH akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, bersama suara kebenaran serta bersama seluruh bangsa yang menentang kezaliman.

“Inilah tuntutan agama dan inilah tuntutan kemanusiaan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button