BERITA SEMASADALAM NEGERI

Polis masih siasat kes kematian Zara Qairina

KOTA KINABALU – Polis masih giat menjalankan siasatan berhubung kes kematian seorang pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Papar yang dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah itu baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan yang dijalankan merangkumi semua aspek dan akan dilakukan secara telus serta menyeluruh.

“Polis akan menjalankan siasatan secara telus dan menyeluruh membabitkan semua aspek.

“Oleh itu, kita meminta orang awam bertenang dan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan lengkap dijalankan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan yang kedua oleh pihak polis susulan kenyataan pertama pada 18 Julai lalu berkaitan kes kematian pelajar berkenaan, Zara Qairina Mahathir.

Dalam kejadian pada 16 Julai lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan satu ditemui dalam keadaan parah kira-kira pukul 3 pagi di bawah bangunan asrama sekolah terbabit, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Baca juga : KPM beri kerjasama penuh siasatan kes Zara Qairina – Fadhlina

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 1 tengah hari keesokan harinya.

Terdahulu, insiden itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen, susulan dakwaan wujud unsur buli yang dikatakan berlaku di sekolah berkenaan.

Kejadian berkenaan turut mencetuskan gelombang kesedihan dan desakan keadilan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat di Sabah, malah turut mendapat perhatian rakyat di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button