Bencana banjir di Sumatera: 631 maut, sejuta penduduk diarah berpindah
JAKARTA – Angka korban akibat banjir dan tanah runtuh di Sumatera meningkat kepada 631 orang, manakala satu juta penduduk yang terjejas akibat bencana tersebut dipindahkan.
Hujan monsun lebat dan taufan tropika yang melanda rantau Asia minggu ini termasuk di Indonesia, Sri Lanka, Selatan Thailand dan Malaysia, telah mengorbankan lebih 1,160 nyawa, lapor The Guardian.
Di Indonesia sahaja, 3.2 juta orang terjejas akibat banjir manakala 2,600 cedera dan 472 masih hilang.
Petugas bantuan sedang berkejar untuk mencari mangsa yang terselamat, namun usaha mereka terhalang oleh laluan yang terputus dan jambatan yang runtuh.
Setakat hari ini, beberapa kawasan di utara Sumatera masih tidak boleh diakses melalui jalan darat.
Di Aceh, antara kawasan yang paling teruk terjejas, pasar kehabisan bekalan beras, sayur-sayuran dan keperluan asas lain, dan harga telah meningkat tiga kali ganda, menurut Islamic Relief, yang menghantar 12 tan bekalan makanan kecemasan.
“Komuniti di seluruh Aceh berada pada risiko tinggi berdepan kekurangan makanan dan kebuluran jika saluran bekalan tidak dipulihkan dalam tempoh tujuh hari akan datang,” kata badan amal itu.
Sementara itu, Kerajaan Indonesia hari ini mengumumkan penghantaran 34,000 tan beras dan 6.8 juta liter minyak masak ke Aceh serta ke wilayah Sumatera Utara dan Sumatera Barat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








