Gunung Ibu di Maluku Utara kembali meletus
TERNATE – Gunung Ibu yang terletak di Halmahera Barat, wilayah Maluku Utara kembali meletus hari ini dan menyemburkan abu vulkanik sehingga setinggi 600 meter dari puncaknya.
Gunung berapi dengan ketinggian 1,325 meter dari paras laut itu terkenal dengan aktiviti vulkanik yang kerap berlaku dan menjadi tumpuan pemantauan pihak berkuasa bagi keselamatan penduduk sekitarnya.
Petugas Pos Pengamatan Gunung Api (PGA) Ibu, Richard Chaniago berkata, letusan itu berlaku sekitar pukul 10.09 pagi tadi (waktu tempatan) menyebabkan debu dan asap tebal menghala ke arah Barat Laut.
“Letusan ini direkodkan di seismogram dengan amplitud maksimum 10 milimeter dengan durasi gegaran lebih kurang 1 minit 6 saat,” katanya memetik laporan agensi berita ANTARA.
Berdasarkan situasi terkini, Gunung Ibu diletakkan pada Status Tahap II atau Waspada.
Pihak berkuasa juga menasihatkan masyarakat sekitar, pengunjung dan pelancong agar tidak melakukan aktiviti dalam radius 2 kilometer dari kawah gunung berapi itu.
Richard turut menegaskan bahawa sekiranya berlaku hujan abu, orang ramai yang berada di luar rumah disarankan menggunakan pelindung seperti pelitup muka dan cermin mata bagi mengelakkan terdedah kepada abu vulkanik.
Gunung Ibu merupakan salah satu gunung berapi aktif di Kepulauan Maluku Utara yang sering memerlukan pemantauan rapi kerana letusan sebelumnya telah menjejaskan aktiviti penduduk dan pelancong.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








