PRN Sabah: Nurul Izzah cadang PKR bertanding minimum 13 kerusi
JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan parti itu bertanding di sekurang-kurangnya 13 kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Katanya, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu berbincang dengan rakan gabungan Kerajaan Perpaduan bagi menentukan agihan kerusi.
“PRN Sabah, paling minimum kita minta 13 kerusi DUN, saya minta Presiden berunding untuk 13 kerusi itu.
“Oleh itu, saya minta pasukan dari seluruh negara bantu. Pasukan dari Pulau Pinang, Selangor, Johor dan lain-lain bantu. Yang paling penting kita kena menang sebagai sebuah gerakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Mengenai reformasi dalaman parti, Nurul Izaah berkata, ia perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berprinsip dengan menjadikan demokrasi sebagai tunjang utama.
“Pengalaman Parti Komunis China dalam membanteras rasuah wajar dijadikan contoh, terutamanya dari segi ketegasan mereka melaksanakan tindakan undang-undang termasuk terhadap pemimpin tertinggi sendiri.
“Kenapa mereka melihat serangan terhadap rasuah ini sangat serius? Kerana tindakan mereka sampai ke tahap pendakwaan terhadap pimpinan kanan dalam parti,” katanya.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut menekankan usaha memperkenalkan bakat baharu ke dalam parti harus disertai proses saringan yang ketat, bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak serta bebas daripada sebarang rekod jenayah atau salah laku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








