BERITA SEMASA

KPKT peruntuk RM121 juta untuk pembangunan Kampung Baru Cina sepanjang 2024

SUNGAI SIPUT – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah memperuntukkan RM121.38 juta bagi pembangunan Kampung Baru Cina di seluruh Semenanjung sepanjang tahun 2024.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, jumlah itu meningkat 13.4 peratus berbanding tahun sebelumnya yang melibatkan peruntukan RM107.07 juta.

“Daripada jumlah yang diperuntukkan tahun lepas, 934 projek pembangunan telah dilaksanakan dengan jumlah RM107.81 juta.

“Ia meliputi pelaksanaan 631 projek kemudahan dan infrastruktur asas, membaik pulih 282 rumah penduduk di bawah Program Bantuan Baik Pulih Rumah Kampung Baru serta membina 21 rumah baharu di bawah Program Rumah Madani Rakyat Kampung Baru,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Kor Ming merasmikan Projek Bina Baru Rumah di Kampung Baru Rimba Panjang di sini semalam sempena siri jelajah Sentuhan Kejayaan KPKT.

Kor Ming turut melawat tapak cadangan bagi Taman Awam Madani, Taman Orkid seluas 1.78 ekar, yang melibatkan kos naik taraf berjumlah RM400,000.

Selain itu, Kor Ming juga melawat tapak cadangan Pembangunan Landskap Persekitaran Kehidupan di Taman Jalong Utara, Sungai Siput dengan kos berjumlah RM490,002.

“Pembinaan taman awam Madani ini jelas sekali membuktikan KPKT cakna dan menyokong aktiviti riadah persekitaran demi mewujudkan komuniti yang sihat,” katanya.

Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, 1,233 batang lampu jalan jenis solar diod pemancar cahaya (LED) juga telah dipasang di 195 Kampung Baru melibatkan peruntukan RM9.97 juta sepanjang tahun lepas.

“Enam projek geran sosioekonomi melibatkan peruntukan RM1.05 juta untuk menjalankan program bersifat penjanaan ekonomi serta RM2.55 juta untuk pelaksanaan 768 program bersifat komuniti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
PlatformPautan
FacebookMalaysia Tribune
X@malaysiatribune
Instagram@malaysiatribune
Threads@malaysia.tribune
YoutubeMalaysia Tribune
TikTokMalaysia Tribune
Whatsapp ChannelMalaysia Tribune
TelegramMalaysia Tribune
Show More

Related Articles

Back to top button