BERITA SEMASA

Bukit Panchor catat sifar jenayah sejak Julai – Fadhlina

KUALA LUMPUR – Kawasan Bukit Panchor yang sebelum ini dikenal pasti sebagai lokasi ‘blackspot’ jenayah kini mencatatkan sifar kes jenayah sejak Julai lalu menerusi pelaksanaan program Whitening the Blackspot oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Selatan (SPS).

Perkembangan itu dikongsikan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Seri Fadhlina Sidek selepas mengadakan pertemuan bersama Ketua Polis Daerah (OCPD) Seberang Perai Selatan bagi membincangkan pelaksanaan program berkenaan.

“Kawasan ini diberikan perhatian khusus menerusi pemantauan dan intervensi yang lebih tersusun. Alhamdulillah, setakat ini tiada kes jenayah direkodkan sejak Julai lalu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam pertemuan itu, Fadhlina turut membangkitkan kebimbangan penduduk mengenai isu kehadiran warga asing yang didakwa semakin sukar dikawal di beberapa kawasan.

“Saya sampaikan kebimbangan penduduk supaya pemantauan dan tindakan dapat terus diperkukuh,” katanya.

Selain itu, beliau turut memberi perhatian terhadap pelaksanaan Ops Didik bersama pihak sekolah bagi memastikan aspek pencegahan jenayah dan masalah disiplin dalam kalangan pelajar diberi perhatian lebih awal.

“Kita tidak mahu polis hanya hadir apabila sesuatu kes berlaku. Kehadiran mereka di sekolah juga penting untuk memberi kesedaran dan membantu mencegah masalah disiplin serta jenayah lebih awal,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada OCPD dan seluruh warga IPD SPS atas usaha memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button