Anak asnaf teruskan pengajian di IPG, Menteri Pendidikan kongsi kisah inspirasi
PUTRAJAYA – Kisah inspirasi seorang pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang yang berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Guru (IPG) mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Dalam satu hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina berkongsi rasa syukur apabila hasrat pelajar bernama Haiman untuk meneruskan pengajian ke IPG akhirnya termakbul meskipun berdepan dugaan besar dalam hidup.

“Selamat meneruskan pengajian ke IPG buat anakanda Haiman.
“Beliau telah kehilangan ayahanda tercinta ketika sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ibunya pula hanya mengambil upah mengasuh anak orang bagi menyara keluarga,” tulis Fadhlina.
Beliau mengakui wujud kebimbangan sebelum ini bahawa Haiman mungkin tidak dapat meneruskan pengajian kerana terpaksa memikul tanggungjawab menjaga keluarga, apatah lagi dengan keadaan ekonomi mereka yang serba kekurangan.
Namun semangat juang Haiman yang tinggi dan pencapaian cemerlangnya dalam akademik telah melayakkan beliau memohon ke IPG dan lulus kesemua peringkat temuduga.
“Lega saya bukan kepalang apabila Haiman memilih untuk terus melanjutkan pelajaran.
“Ramai yang menyangka menjadi guru ini mudah. Tetapi tidak semudah yang disangka. Semoga Haiman terus kuat untuk menamatkan pengajian sehingga bergelar pendidik. Tahniah Haiman! Selamat mendukung misi dan visi di IPG,” kata Fadhlina lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







