BERITA SEMASA

160 pelajar mulakan program Tingkatan Enam di UKM dan USM

NIBONG TEBAL – Seramai 160 pelajar memulakan Program Pendidikan Tingkatan Enam secara serentak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM), semalam.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, program rintis itu merupakan kerjasama antara Kementerian Pendidikan (KPM) dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam usaha memperkasa kualiti sistem pendidikan negara.

“Sebanyak 100 tempat disediakan di Kampus UKM dan 60 lagi di Kampus USM bagi pengambilan pertama ini,” katanya pada Majlis Sambutan Pelajar Program Pendidikan Tingkatan Enam di Kampus Kejuruteraan USM di sini, semalam.

Menurut Fadhlina, program berkenaan menerima sambutan menggalakkan dengan lebih 5,000 permohonan diterima daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024, melebihi kuota ditawarkan.

“Melihat barisan pelajar yang mendaftar hari ini, saya amat gembira kerana mereka datang daripada pelbagai sekolah terbaik di seluruh negara.

“Ini menunjukkan keyakinan ibu bapa terhadap laluan pendidikan Tingkatan Enam itu,” katanya.

Program ini menawarkan dua bidang pengajian iaitu Sains dan Sains Sosial dengan tempoh pengajian selama 18 bulan.

Pelajar terpilih akan menginap di asrama universiti dan boleh menggunakan kemudahan yang sama seperti pelajar universiti lain sepanjang tempoh pengajian.

Program Tingkatan Enam di universiti awam itu diperkenalkan bermula tahun ini sebagai inisiatif baharu untuk meningkatkan daya tarikan laluan prauniversiti dalam kalangan lepasan SPM.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button