Ahmad Zamri dilantik Pengarah Pendidikan Pahang, Fadhlina harap lonjakan reformasi diteruskan
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek hari ini mengucapkan tahniah kepada Ahmad Zamri Mat atas pelantikannya sebagai Pengarah Pendidikan Negeri Pahang yang baharu.
Menurut Fadhlina, pelantikan itu diharap akan membawa harapan besar kepada sektor pendidikan Pahang seiring dengan agenda reformasi pendidikan yang sedang digerakkan di peringkat nasional.
“Saya cukup teliti dalam hal pendidikan negeri kerana reformasi pendidikan bermula dengan kekuatan serta anjakan di peringkat negeri.
“Pahang adalah negeri yang saya gelar sebagai ‘the next big thing’ berdasarkan prestasi cemerlangnya dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, khususnya dalam keputusan SPM dan STPM,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Fadhlina turut menyatakan Pahang mempunyai keistimewaan tersendiri melalui pendekatan Pedagogi Rimba sebagai satu model pendidikan untuk komuniti Orang Asli yang dibangunkan oleh IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan.
Jelasnya, pelantikan Ahmad Zamri bukan sekadar meneruskan pentadbiran sedia ada sebaliknya memikul tanggungjawab besar untuk memastikan reformasi pendidikan diterjemahkan secara menyeluruh termasuk menangani isu keciciran serta menjamin kebajikan warga pendidik.
“Dengan pengalaman panjang beliau dalam dunia pendidikan dan sebagai seorang guru, saya yakin beliau mampu menerajui pelaksanaan reformasi pendidikan di Pahang dengan lebih padu.
“Selamat menunaikan khidmat kebaktian untuk negeri Pahang!” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








