Jangan guna ‘bahasa Putrajaya’, cerita kejayaan kerajaan secara mudah – Fadhlina
MELAKA – Pimpinan kerajaan perlu mengelak penggunaan istilah atau bahasa yang sukar difahami rakyat ketika menerangkan dasar serta pencapaian Kerajaan MADANI.
Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, segala kejayaan kerajaan khususnya dalam bidang pendidikan perlu disampaikan menggunakan bahasa mudah supaya dapat difahami dan dirasai masyarakat di peringkat akar umbi.
Menurutnya, rakyat tidak mempunyai masa untuk membaca dokumen dasar yang panjang, sebaliknya mereka mahu mengetahui secara jelas bagaimana sesuatu dasar memberi manfaat kepada kehidupan mereka.
“Rakyat tidak bangun pagi hendak membaca dokumen dasar 200 muka surat,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Beliau berkata, antara pencapaian Kerajaan MADANI dalam sektor pendidikan termasuk penyiapan lebih 800 projek sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.
“Usaha membaik pulih tandas sekolah turut menjadi antara keutamaan bagi memastikan kemudahan pendidikan yang selesa dapat dinikmati murid,” katanya lagi.
Beliau berkata, kerajaan turut memperluas akses pendidikan prasekolah bagi membantu mengurangkan beban kos ditanggung ibu bapa.
“Ini semua adalah perkara yang perlu kita ceritakan kepada rakyat dalam bahasa yang mudah supaya mereka tahu apa yang kerajaan sudah lakukan,” katanya lagi.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan turut menyentuh pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital serta jaminan tempat di institusi Matrikulasi kepada pelajar yang memperoleh keputusan 10A tanpa mengira kaum.
Menurutnya, kejayaan berkenaan perlu dijadikan sebahagian daripada naratif parti ketika berdepan masyarakat, bukannya sekadar disimpan dalam dokumen atau laporan kerajaan.
“Jangan kita gunakan bahasa Putrajaya. Kita perlu bercakap dengan bahasa rakyat supaya mereka faham apa yang sedang dilakukan kerajaan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








