BERITA SEMASALUAR NEGARA

Iran beri amaran keras kepada AS tidak campur tangan isu protes

TEHERAN – Iran memberi amaran keras kepada Amerika Syarikat (AS) supaya tidak melakukan sebarang serangan atau campur tangan susulan gelombang protes yang melanda negara itu, ketika Presiden AS, Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa tindakan dari Washington.

Menurut laporan kumpulan hak asasi manusia berpangkalan di AS, Human Rights Activists News Agency (HRANA), sekurang-kurangnya 538 orang terbunuh dalam keganasan yang tercetus sepanjang protes berkenaan, termasuk 490 penunjuk perasaan, manakala lebih 10,600 individu ditahan pihak berkuasa Iran.

Sementara itu, satu lagi badan pemantau hak asasi manusia berpangkalan di Norway, Iran Human Rights, melaporkan sekurang-kurangnya 192 penunjuk perasaan terbunuh setakat ini.

Perbezaan angka korban itu dipercayai berpunca daripada kesukaran mendapatkan maklumat tepat berikutan penutupan sepenuhnya akses internet di Iran.

Peningkatan mendadak angka kematian itu dilaporkan berlaku ketika pihak berkuasa memperhebatkan tindakan keras terhadap protes yang kini memasuki minggu kedua.

Kumpulan hak asasi memberi amaran bahawa jumlah korban sebenar berkemungkinan lebih tinggi kerana kekangan komunikasi di dalam negara itu.

Ketegangan itu turut meningkatkan kebimbangan terhadap kemungkinan campur tangan AS, selepas Trump menyatakan Amerika akan ‘menyelamatkan’ penunjuk perasaan sekiranya kerajaan Iran terus menggunakan kekerasan.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau berkata, AS sedia membantu dan mendakwa pemimpin negara itu.

Akhbar The Wall Street Journal melaporkan Trump dijadual menerima taklimat mengenai beberapa pilihan termasuk serangan ketenteraan, operasi siber sulit, peluasan sekatan ekonomi serta bantuan dalam talian kepada kumpulan anti-kerajaan di Iran.

Bagaimanapun, pemimpin Iran menegaskan sebarang serangan akan dibalas.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad-Bagher Ghalibaf, memberi amaran bahawa kepentingan Israel dan AS di Asia Barat akan menjadi sasaran sekiranya Washington bertindak menyerang Tehran.

“Sekiranya berlaku serangan ke atas Iran, wilayah yang diduduki serta semua pusat, pangkalan dan kapal tentera Amerika di rantau ini akan menjadi sasaran sah kami,” katanya.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, pula menuduh AS dan Israel sebagai dalang di sebalik ketegangan tersebut dengan mendakwa kedua-dua negara membawa masuk elemen pengganas untuk mencetuskan huru-hara.

Beliau turut menggesa keluarga agar tidak membenarkan golongan muda terlibat dalam rusuhan.

Kerajaan Iran turut mengisytiharkan tiga hari berkabung bagi memperingati anggota keselamatan yang terkorban sepanjang dua minggu protes.
Pezeshkian juga menyeru rakyat menyertai perarakan kebangkitan nasional bagi mengecam keganasan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan ekstrem.

Protes yang disifatkan terbesar di Iran sejak beberapa tahun lalu itu tercetus akibat kejatuhan mendadak nilai mata wang negara itu sebelum berkembang menjadi tuntutan pembaharuan politik dan desakan supaya kerajaan berundur.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button