PM dedah kewujudan kartel dadah kontena sejak lebih 20 tahun
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kekesalan terhadap kewujudan kartel dadah yang beroperasi pada skala besar melibatkan penyeludupan menggunakan kontena dari Pelabuhan Klang sejak lebih 20 tahun lalu.
Beliau berkata, walaupun kewujudan kartel itu telah diketahui oleh pihak berkuasa namun tiada usaha diambil untuk betul-betul menyekat penyeludupan tersebut.
Justeru, beliau menegaskan isu itu tidak lagi boleh dipandang ringan dan menggesa pihak berkuasa bertindak segera dan tegas untuk menghapuskan kartel-kartel berkenaan.
“Sekarang saya Perdana Menteri, saya tunggu setahun tiada laporan tapi orang bercakap tentang perkara ini.
“Ada kontena itu masuk. Kontena dadah keluar daripada Pelabuhan Klang, ditangkap di Australia,” katanya pada sesi sarapan dan sembang santai bersama media Sabah di sini hari ini.
Anwar berkata, kejadian terbaharu membabitkan penahanan kontena dadah di Australia yang menjadi titik kemarahan beliau kerana tiada langkah susulan di Malaysia.
“Itu saya mengamuk. Saya kata jangan cakap kepada saya, anda tak ada apa-apa tindakan,” katanya.
Katanya, beliau tidak boleh bertolak ansur dengan kegagalan itu dan telah mengambil langkah susulan dengan memanggil ketua-ketua agensi berkaitan setiap minggu bagi mendapatkan perkembangan terkini.
Beliau turut mendedahkan penemuan ratusan kontena yang disyaki mengandungi sisa e-waste sebagai modus operandi kartel berkenaan.
“Jadi kami arahkan supaya kontena tersebut diserbu segera. Bagaimana, bila dan siapa bertanggungjawab, itu urusan mereka tetapi tindakan mesti diambil.
“Bahkan ada juga kelakuan dan tindakan jenayah. Ada orang mati dibunuh oleh mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memuji usaha agensi penguat kuasa yang kini lebih proaktif dalam membanteras kegiatan haram ini.
“Sekarang tindakan telah diambil, rampasan dibuat dan beberapa individu telah didakwa di mahkamah. Ini adalah permulaan bagi usaha membanteras sindiket yang telah beroperasi selama 20 tahun,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








