Lelaki larikan diri dari pemeriksaan polis ditahan bersama sebilah parang
JOHOR BAHRU – Tindakan nekad seorang lelaki melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila dia ditahan selepas dikejar di Jalan Persiaran South Key, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata kejadian pukul 5.40 petang itu bermula apabila suspek enggan memberi kerjasama ketika pemeriksaan sebelum memecut Proton Satria hitam yang dipandunya.
Menurut beliau, ketika melarikan diri, suspek memandu secara melawan arus dan merempuh beberapa kenderaan lain sebelum terbabas lalu melanggar penghadang jalan.
“Suspek berusia 26 tahun itu berjaya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui sebilah parang panjang dalam kenderaan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum itu, tular video berdurasi 38 saat memaparkan kereta peronda polis mengejar sebuah kereta di lokasi kejadian.
Raub berkata, semakan mendapati lelaki itu mempunyai 23 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah, selain ujian air kencing menunjukkan dia positif methamphetamine.
“Suspek direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








