BERITA SEMASADALAM NEGERI

Majlis Pendidikan Negara tentukan hala tuju dasar pendidikan secara menyeluruh

NILAI – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan penubuhan Majlis Pendidikan Negara yang bakal menyelaras dasar pendidikan negara secara menyeluruh, melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai tonggak utama.

Hari Akademia
Zambry bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari dan Bulan Akademia 2025.

Beliau berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa itu telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi, dengan turut disertai beberapa kementerian lain yang berkaitan.

“Tujuannya adalah untuk memastikan kerajaan mempunyai dasar pendidikan yang menyeluruh daripada peringkat asas hinggalah ke pendidikan tinggi.

“Ia juga akan mewujudkan kluster-kluster pendidikan bagi membolehkan setiap kementerian membuat perancangan program yang ada kaitan dengan bidang pendidikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari dan Bulan Akademia 2025 di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini hari ini.

Menurut Zambry, antara aspek utama yang diberi perhatian termasuk penyelarasan dengan Kementerian Digital berhubung pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta rombakan semula mata pelajaran umum di universiti yang kini sedang dirangka oleh dua tokoh akademik, Prof. Osman Bakar dan Prof Syamsul Amri.

“Dengan usaha ini, kita mahu memastikan kurikulum selaras dengan keperluan dan jati diri negara. Pada masa sama, kementerian juga sedang menyiapkan pelan pendidikan jangka panjang 10 tahun akan datang yang bakal dilancarkan Perdana Menteri,” jelasnya.

Selain itu, beliau turut menyambut baik inisiatif Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang sedang membangunkan panduan etika AI berasaskan syariah sebagai rujukan penting dalam memastikan teknologi sejajar dengan nilai Islam.

Zambry bersama para penerima geran pendidikan pada majlis tersebut.

“USIM telah pun memulakan usaha ini dan ia merupakan satu usaha yang baik dan sebab seperti mana kita sedia maklum dalam bidang AI sekarang ini kita memerlukan panduan-panduan etikanya.

“Dalam kontek USIM, mereka mengambil pendekatan dari sudut syariah. Jadi saya harap mereka dapat membangunkan panduan AI yang berkaitan nilai-nilai syariah dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Aneese Ibrahim dan Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Sharifuddin Md Shaarani.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button