[VIDEO] RM6 juta diperuntuk, PJM MADANI KEMENTAH terus diperkasa jadi penghubung tentera, rakyat
LABIS – Program Jiwa Murni (PJM) MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) terus diperkasa apabila sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 57 projek fasa pertama di lapan negeri tahun depan dalam usaha memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pendekatan pertahanan negara ketika ini tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada angkatan bersenjata semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan rakyat secara menyeluruh.
Menurut beliau, program seperti PJM MADANI dan Program Ilmu dan Muafakat (PIKAT) menjadi antara instrumen penting dalam mewujudkan hubungan rapat antara tentera dan masyarakat.
“Kita mengambil pendekatan HANRUH berasaskan kepada cabaran-cabaran terkini, ancaman-ancaman moden yang kita hadapi, yang mana pandangan bahawa pertahanan itu hanya tanggungjawab eksklusif angkatan bersenjata adalah sesuatu yang tidak lagi relevan dalam zaman ini.
“Kejayaan negara untuk mempertahankan keselamatan mesti melibatkan rakyat dan penglibatan rakyat hanya boleh berlaku melalui usaha kita memperkukuh hubungan antara rakyat dan angkatan tentera.
“Justeru itu, program-program seperti Jiwa Murni MADANI KEMENTAH dan PIKAT ini merupakan antara pendekatan yang kita ambil untuk mewujudkan hubungan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran PJM MADANI KEMENTAH Tahun 2026 di Dewan Semai Bakti, FELDA Maokil 1, di sini hari ini.
@malaysiatribune Program Jiwa Murni (PJM) MADANI Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) terus diperkasa apabila sebanyak RM6 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan 57 projek fasa pertama di lapan negeri tahun depan dalam usaha memperkukuh hubungan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat melalui pendekatan Pertahanan Menyeluruh (HANRUH). #malaysiatribune #beritasemasa #mindef #felda #cimic
Hadir sama, Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohamad Suria Mohamad Saad mewakili Panglima Tentera Darat; Panglima Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen), Mejar Jeneral Sani S Omar dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kementerian Pertahanan, Mohd Khairuzaki Paiman.
Terdahulu, Mohamed Khaled menyempurnakan penyerahan tiga replika cek sebagai simbolik pelaksanaan inisiatif komuniti dan kebajikan di bawah KEMENTAH.
Penyerahan pertama berjumlah RM6 juta itu disampaikan kepada Ketua Jurutera Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD), Brigedier Jeneral Ts. Sharuddin Mohd. Noh bagi pelaksanaan PJM MADANI KEMENTAH Tahun 2026.
Selain itu, sebanyak RM500,000 disalurkan kepada Ketua Pengarah Bahagian Kerohanian Islam ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Rashidi Bujai bagi pelaksanaan PIKAT, manakala RM51,431 lagi diperuntukkan kepada Ketua Peneroka FELDA Maokil 1 bagi kerja baik pulih Dewan Semai Bakti.
Projek baik pulih dewan yang dilaksanakan Pasukan 8 Skuadron RAJD itu melibatkan kerja pembaikan siling dan tandas, pendawaian elektrik serta kerja perpaipan.
Mohamed Khaled berkata, pelaksanaan PJM MADANI turut menjadi medium meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi ketenteraan selain membantu mengatasi jurang persepsi masyarakat terhadap ATM.
Katanya, elemen baharu berkaitan literasi pertahanan juga akan diperkenalkan menerusi Institut Kajian Strategik Pertahanan Malaysia (MIDAS) bagi memberi pendedahan kepada rakyat mengenai isu geopolitik dan keselamatan semasa termasuk ancaman di Laut China Selatan.
“Melalui hubungan rapat ini, rakyat boleh disedarkan mengenai peranan mereka sendiri dalam mempertahankan negara,” katanya.
Bagi tahun 2026, sebanyak 57 projek PJM MADANI akan dilaksanakan melibatkan kerja pembaikan masjid dan surau, dewan serta balai raya, sekolah, infrastruktur awam, kawasan perkuburan dan fasiliti sukan di seluruh negara.

Zulkefle/Malaysia Tribune
Dalam majlis sama, Mohamed Khaled turut menyampaikan sumbangan komputer riba kepada tiga anak veteran ATM yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi hasil kerjasama Yayasan Veteran ATM, Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) dan Etiqa Takaful Berhad.
Seorang penerima, Nurul Aliah Farhah Hamim, 22, yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan (Keusahawanan Kejuruteraan) Dengan Kepujian di Universiti Malaysia Perlis melahirkan penghargaan kepada Kementerian Pertahanan atas bantuan diterima.
Menurutnya, komputer riba tersebut akan membantu melancarkan proses pembelajaran dan memudahkan urusan tugasan akademik sepanjang pengajian.
Katanya, sumbangan itu juga dapat meringankan beban kewangan keluarganya selain memberi semangat untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Sementara itu, Pengurus FELDA Maokil 1, Ibrahim Daud berkata, pihaknya amat menghargai sumbangan pembaikan Dewan Semai Bakti yang dilaksanakan menerusi program berkenaan.
Beliau berkata, kerjasama antara penduduk dan anggota tentera sepanjang program berlangsung juga amat baik apabila masyarakat setempat turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong bersama anggota ATM.
“Anggota ATM datang ke sini seminggu dan mendapat sambutan yang begitu baik. Kalau kita tengok sekitar pun, warga kita terlibat dalam program gotong-royong,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








