Jangan pandang remeh bantuan RM100 – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 yang diberikan kepada rakyat melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tidak wajar dipandang remeh.
Menurut beliau, walaupun jumlah itu mungkin dianggap kecil bagi mereka yang berpendapatan tinggi, ia membawa makna besar kepada rakyat di luar bandar serta golongan berpendapatan rendah yang amat memerlukan.
“Semua kata RM100 saja. Tapi kamu gaji RM40,000, RM20,000 sebulan, memang RM100 itu tiada makna. Tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung, RM100 itu ada manfaatnya,” katanya semasa berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Anwar berkata, bantuan itu merupakan antara langkah kerajaan untuk menambah baik kebajikan rakyat dengan memperluaskan peruntukan yang sedia ada.
Beliau memberi contoh, dalam satu keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, keseluruhan isi rumah itu boleh menerima sehingga RM400 menerusi program SARA.
Jumlah itu boleh meningkat kepada RM700 apabila digabungkan dengan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang sedia ada.
“Jadi jangan remehkan usaha ini kerana ini adalah kemampuan kita untuk menambah peruntukan dari RM13 bilion kepada RM15 bilion. Tambahan RM2 bilion bukan satu jumlah kecil,” katanya lagi.
Tegas beliau, kerajaan komited memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada menerima bantuan, terutamanya dalam suasana ekonomi yang mencabar dan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Program SARA yang diperkenalkan selari dengan pendekatan Kerajaan MADANI merupakan antara inisiatif bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar dan memperkukuh sistem perlindungan sosial negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








