BERITA SEMASA

Rombakan kabinet belum difikirkan, menteri tidak boleh diganti ketika cuti – PMX

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan bahawa tiada perancangan segera untuk merombak barisan Kabinet, susulan pengumuman peletakan jawatan oleh dua orang menterinya – Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menurut Anwar, langkah menggantikan mereka belum dibincangkan kerana kedua-duanya masih dalam tempoh cuti yang telah diluluskan.

Anwar menjelaskan bahawa penggantian anggota Jemaah Menteri tidak dapat dilakukan pada masa ini kerana kedua-dua menteri tersebut sedang bercuti.

“Belum (fikir untuk buat rombakan), mereka (Rafizi dan Nik Nazmi) masih bercuti, kita tak boleh ganti orang yang sedang bercuti,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Semalam, Rafizi dan Nik Nazmi mengumumkan peletakan jawatan mereka yang masing-masing berkuatkuasa pada 17 Jun dan 4 Julai ini.

Kedua-duanya mengaitkan keputusan itu dengan kekalahan mereka dalam Pemilihan PKR baru-baru ini dengan menyifatkan tidak lagi menerima mandat daripada ahli parti.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya juga memaklumkan Anwar telah meluluskan permohonan cuti untuk kedua-dua menteri tersebut.

Untuk rekod, Rafizi tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR kepada Nurul Izzah Anwar, manakala Nik Nazmi pula gagal mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR pada Pemilihan PKR 2025 baru-baru ini.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button