Carian MH370 belum temui sebarang petunjuk baharu
PUTRAJAYA – Operasi pencarian baharu bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines Flight MH370 di selatan Lautan Hindi masih belum menemukan sebarang petunjuk yang dapat mengesahkan lokasi pesawat tersebut.

Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, kerajaan menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan dasar laut, Ocean Infinity pada 25 Mac 2025 bagi melaksanakan operasi pencarian di kawasan baharu yang dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara Malaysia hari ini, operasi pencarian tersebut dijalankan berdasarkan prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran” (no find, no fee).
“Operasi itu dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama dari 25 hingga 28 Mac 2025, manakala fasa kedua bermula 31 Disember 2025 hingga 23 Januari 2026.
“Secara keseluruhan, sebanyak 28 hari operasi pencarian dijalankan selepas perjanjian dimeterai, melibatkan tinjauan kira-kira 7,571 kilometer persegi dasar laut dalam kawasan carian yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
MOT berkata, Ocean Infinity turut menjalankan beberapa aktiviti tinjauan tambahan di kawasan carian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi dimeterai pada Mac 2025 sebagai sebahagian usaha menyokong operasi pencarian tersebut.
Bagaimanapun, operasi berkenaan turut berdepan gangguan dari semasa ke semasa akibat keadaan cuaca serta laut yang tidak menentu.
“Fasa kedua operasi pencarian berakhir pada 23 Januari 2026 dan setakat kemas kini ini dikeluarkan, usaha pencarian yang dijalankan masih belum menghasilkan sebarang penemuan yang dapat mengesahkan lokasi bangkai pesawat,” katanya lagi.
MOT akan terus memaklumkan perkembangan terkini kepada keluarga mangsa dan akan menyalurkan sebarang maklumat baharu dari semasa ke semasa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








