BERITA SEMASA

Pencarian MH370 disambung, bayar hanya jika pesawat ditemui – Anthony Loke

PUTRAJAYA – Kerajaan telah menerima tawaran daripada syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan pencarian bangkai pesawat MH370, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 13 Disember lalu dengan operasi pencarian dasar laut akan memberi tumpuan kepada lokasi baharu seluas kira-kira 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

“Lokasi pencarian baharu yang dicadangkan oleh Ocean Infinity adalah berdasarkan maklumat terkini dan analisis data daripada pakar dan penyelidik.

“Ia merupakan cadangan yang kukuh dan wajar diteliti oleh kerajaan Malaysia sebagai negara pendaftaran pesawat MH370,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Loke menjelaskan, operasi pencarian akan dilaksanakan berdasarkan prinsip ‘no find, no fee’, yang bermaksud kerajaan tidak perlu membayar sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat itu tidak ditemukan.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Pengangkutan kini dalam proses memuktamadkan terma dan syarat perjanjian dengan syarikat yang berpangkalan di United Kingdom itu yang dijangka selesai awal tahun hadapan.

“Tempoh yang sesuai untuk melaksanakan pencarian di kawasan tersebut adalah antara Januari hingga April, justeru proses perjanjian itu perlu disegerakan,” tambah beliau.

Anthony berkata, keputusan untuk menerima tawaran Ocean Infinity itu menunjukkan komitmen kerajaan untuk meneruskan usaha pencarian MH370 serta memberikan kelegaan kepada keluarga mangsa.

Pesawat Malaysia Airlines MH370 yang membawa 239 penumpang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button