Gangguan bekalan elektrik di KLIA2 tidak boleh diterima – Anthony Loke
KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyifatkan gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2) semalam sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara.
Insiden itu berlaku sekitar jam 2.15 petang susulan panahan kilat yang menjejaskan penyambungan kabel, menyebabkan terminal berkenaan mengalami gangguan bekalan selama 28 minit.
Walaupun berlaku gangguan, operasi lapangan terbang tidak lumpuh sepenuhnya apabila penjana sokongan diaktifkan serta-merta, memastikan sistem penting seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan kekal berfungsi.
Pasukan teknikal lapangan terbang juga bertindak pantas dengan mengalihkan bekalan daripada pencawang alternatif, sebelum bekalan pulih sepenuhnya dalam tempoh kurang setengah jam.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang menyediakan laporan penuh untuk dikemukakan kepada Menteri Pengangkutan selain menjalankan penilaian menyeluruh bagi memperkukuh infrastruktur sedia ada.
“Penilaian menyeluruh sedang dijalankan untuk memastikan ketahanan infrastruktur kami, sekali gus mengelakkan kejadian seumpamanya berulang,” jelas kenyataan itu.
Ketika kejadian, Loke turut berada di KLIA2 bagi merasmikan kempen Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








