
Misi bawa pulang rakyat Malaysia dari Iran guna laluan darat
PUTARAJAYA – Misi memindahkan rakyat Malaysia keluar dari Iran akan dilaksanakan mengikut jalan darat ke timur laut Tehran menuju sempadan negara itu dengan Turkmenistan dan seterusnya ke bandar Ashgabat.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, jumlah keseluruhan yang akan dipindahkan ketika ini adalah seramai 19 orang, termasuk seorang pemastautin tetap (PR) Malaysia, dua pasangan warga Iran dan seorang warga Singapura.
“Empat pelajar memutuskan untuk kekal berada di Iran dan tidak menyertai misi pemindahan yang sedang diusahakan itu.
“Tiga daripada mereka kini berada di Qom, manakala seorang lagi di Isfahan. Kita juga akan mendapatkan Surat Akuan Pelepasan (Indemnity Letter) daripada setiap individu yang enggan dipindahkan,” katanya.
Mohamad berkata, setakat semalam, jumlah rakyat Malaysia di Iran yang berdaftar dengan kedutaan adalah seramai 20 orang, termasuk sembilan petugas Home-Based Staff (HBS) dan ahli keluarga masing-masing.
Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Iran, Khairi Omar, mengakui keadaan di Tehran ketika ini membimbangkan berikutan krisis di antara negara itu dengan Israel, namun situasi masih terkawal.
Khairi ketika dihubungi semalam memaklumkan, semua rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga.
Beliau berkata, jumlah rakyat Malaysia yang berdaftar sehingga 18 Jun lalu seramai 20 orang, termasuk sembilan pegawai dan kakitangan kedutaan serta ahli keluarga masing-masing.
Platform | Pautan |
---|---|
Malaysia Tribune | |
X | @malaysiatribune |
@malaysiatribune | |
Threads | @malaysia.tribune |
Youtube | Malaysia Tribune |
TikTok | Malaysia Tribune |
Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
Telegram | Malaysia Tribune |
One Comment