MRA lancar Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal
KUALA LUMPUR – Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat banjir besar yang melanda beberapa wilayah di negara itu.
Presiden MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, dana yang dikumpulkan akan digunakan untuk menyokong operasi bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas dalam fasa awal kecemasan.
“Antara bantuan yang dirancang termasuk bekalan makanan, air bersih, kit kebersihan, kit bayi serta bantuan perubatan dan kesihatan selain pembinaan musolla sementara bagi komuniti Muslim yang terjejas.
Justeru, MRA menyeru rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, masjid dan surau, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal,” katanya dalam kenyataan semalam.
Banjir berkenaan berlaku pada 26 Ogos lalu apabila banjir kilat berskala besar melanda Daerah Rasuwa di utara Nepal susulan lonjakan air secara mendadak ke Sungai Bhote Koshi dari kawasan hulu berhampiran sempadan Tibet, China.
Bencana itu kemudiannya memberi kesan besar kepada kawasan di sepanjang koridor sungai termasuk Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Gorkha serta beberapa kawasan di hilir.
Menurut MRA, penilaian awal pihak berkuasa dan agensi kemanusiaan mendapati kejadian itu dipercayai berkaitan dengan ketidakstabilan ais atau glasier di kawasan pergunungan tinggi yang menyebabkan aliran sungai tersekat sebelum berlaku pelepasan air secara mendadak.
Berdasarkan perkembangan sehingga 31 Ogos lalu, sekurang-kurangnya 939 mayat telah ditemukan, manakala kira-kira 3,925 orang masih terputus hubungan atau belum dapat dikesan.
Pada masa sama, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) menganggarkan kira-kira 93,000 penduduk mungkin terjejas akibat bencana itu.
MRA berkata, angka berkenaan masih boleh berubah berikutan operasi mencari dan menyelamat yang sedang dijalankan, selain terdapat kawasan yang masih sukar diakses.
Banjir deras itu turut memusnahkan dan merosakkan kediaman, jalan raya, jambatan, sekolah, kemudahan kesihatan, kawasan pertanian serta infrastruktur hidroelektrik.
Beberapa jalan utama dan jambatan yang terputus turut menyukarkan usaha menyalurkan bantuan ke kawasan paling teruk terjejas, sekali gus menyebabkan keperluan terhadap makanan, air bersih, tempat perlindungan, perkhidmatan kesihatan dan barangan keperluan asas semakin mendesak.
Sumbangan boleh disalurkan kepada:
MALAYSIAN RELIEF AGENCY BERHAD
Maybank: 5640 9820 8020
Alliance Bank: 6410 8001 002 4389
MRA berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi serta menjalankan penilaian keperluan bersama rakan kerjasama di Nepal bagi menentukan bentuk intervensi yang paling sesuai.
Maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi MRA International di talian +60 16-334 1672.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








