Mesyuarat MT PN Khamis ini, dibatalkan
CYBERJAYA – Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung Khamis ini, dibatalkan.
Memetik laporan FMT, mesyuarat itu digantikan dengan pertemuan antara ketua empat parti komponen gabungan tersebut di kediaman Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Difahamkan, pertemuan itu disifatkan sebagai perbincangan awal bagi ‘menentukan hala tuju’ sebelum Majlis Tertinggi PN bersidang untuk mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin selaku pengerusi gabungan serta melantik penggantinya.
Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dipetik sebagai berkata, pertemuan itu menyusuli perbincangan terdahulu antara PAS dan BERSATU berhubung masa depan gabungan itu.
“Berdasarkan perbincangan awal antara PAS dan BERSATU, Muhyiddin telah mengutus surat kepada semua presiden parti komponen PN,” katanya, hari ini.
Beliau turut memberitahu, dalam pertemuan itu, PAS dengan BERSATU mencapai kata sepakat mengenai beberapa perkara penting, antaranya cadangan pindaan perlembagaan dan struktur kepimpinan PN, merangkumi majlis presiden serta Majlis Tertinggi.
Katanya, Muhyiddin yang melepaskan jawatan pengerusi PN pada 1 Jan lepas telah memberi taklimat secara peribadi kepada beliau dan Presiden GERAKAN, Datuk Dominic Lau mengenai perbincangan terbabit.
Menurut Punithan, MIPP dan Gerakan menyokong hala tuju yang telah dipersetujui itu.
Beliau kemudiannya menambah, mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang amat dinanti-nantikan itu hanya akan bersidang selepas kata sepakat dicapai antara presiden parti.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








