Remaja cedera di kepala akibat dibuli beransur pulih, keluarga teruskan tindakan undang-undang
KUALA LUMPUR – Seorang remaja yang tular menjadi mangsa buli fizikal oleh empat remaja berusia 14 tahun hingga mengalami kecederaan di bahagian kepala kini menunjukkan perkembangan positif, namun masih memerlukan pemantauan rapi kerana mengalami keretakan tulang tengkorak akibat insiden tersebut.
Menurut ibunya, Zulaikha Sabri dalam satu hantaran melalui media sosial, siasatan kes masih berjalan dan dia tidak dapat berkongsi perkembangan secara terperinci kepada umum.
“Tuntutan pampasan juga telah difailkan di Tribunal Antibuli, manakala tindakan undang-undang selanjutnya akan diteruskan melalui peguam,” katanya hari ini.
Pada masa sama, dia turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang memberi sokongan, mendoakan kesembuhan anaknya serta membantu menampung kos guaman.
“Dari segi luaran, Alhamdulillah keadaannya semakin pulih. Dia sudah boleh makan dan bergerak perlahan seperti biasa, tetapi kecederaan dalaman masih memerlukan masa untuk sembuh,” katanya.
Berkongsi lebih lanjut, dia berkata, pada minggu pertama selepas kejadian, anaknya mengalami sakit kepala yang teruk dan muntah berterusan sebelum keadaan beransur stabil.
Menurutnya, tempoh pemulihan keretakan tulang tengkorak dianggarkan mengambil masa antara enam hingga 12 bulan dan anaknya perlu menjalani pemeriksaan pakar setiap bulan.
Selain itu katanya, mangsa juga perlu dipantau sepanjang masa kerana berisiko mengalami sawan secara tiba-tiba serta komplikasi lain akibat kecederaan kepala.
Katanya, anaknya tidak dibenarkan menyertai sebarang aktiviti lasak, termasuk sukan dan pendidikan jasmani di sekolah sepanjang tempoh pemulihan.
Beliau turut mendedahkan bahawa anaknya masih mengalami trauma akibat kejadian itu dan sentiasa berasa takut untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.
“Mangsa kini memerlukan sokongan moral dan kehadiran keluarga bagi membantunya mengatasi trauma serta membina semula keyakinan diri,” katanya.
Dia juga berharap orang ramai terus mendoakan agar anaknya kembali sihat, ceria dan aktif seperti sebelum kejadian, sambil menegaskan harapannya agar keadilan dapat ditegakkan terhadap kes berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















